14 December, 2009

AF DATANG LAGI!!!

Sana sini orang sibuk memperkatakan pasal program pencarian bakat realiti terpopular Akademi Fantasia yang sekarang sedang sibuk mencari peserta baru melalui sesi ujibakat di seluruh negara. Diam tak diam dah masuk ke musim yang ke tujuh sekarang ni.

Mungkin ini satu platform untuk bakat-bakat baru ingin memperkenalkan diri ke bidang hiburan dan sekaligus menjadi terkenal. Walaupun ramai yang kata sudah terlalu ramai bintang yang dilahirkan sejak AF diperkenalkan hampir 7 tahun dulu dan ada yang menyarankan agar AF ini patut direhatkan seketika.

Entahlah. Bukan hendak memuji tetapi saya percaya ramai yang setuju AF masih lagi menjadi rancangan realiti yang dinantikan biar siapa pun pengetua dan pengacaranya. Paknil bercakap ni pun sambil membandingkannya dengan rancangan realiti yang lain.

AF ada demam walaupun ada yang kata ia tak sehebat AF yang dulu-dulu tetapi AF masih lagi menjadi perhatian. Tengok sahaja jumlah peserta yang menghadiri sesi ujibakat. Tak terkira ramainya.

Paknil nak imbas kembali penglibatan Paknil dalam AF sejak ia mula diperkenalkan dulu. Sebenarnya ia datang secara mengejut setelah Paknil hampir-hampir dilupakan dalam bidang pengacaraan. Yelah, setelah ekonomi gawat (1997-2001), banyak rancangan hiburan tv yang ditutup. Ramai pengacara yang tak ada kerja dan ramai jugak yang mencari kerja lain. Paknil cuma mengacarakan rancangan yang kecil-kecil saja dan ada yang tak merasa kehadiran Paknil sebagai pengacara ketika itu.

Bila ekonomi berdeket-deket pulih, makin muncul rancangan hiburan besar dilahirkan. Astro Ria yang merupakan satu-satunya saluran melayu di ASTRO ketika itu mengorak langkah menerbitkan AF. Paknil dengar adalah beberapa nama besar lain yang dicanang untuk dijadikan pengacara rancangan terbaru terbitan mereka, Akademi Fantasia. Konsep yang diambil dari rancangan dari Mexico, LACADEMIA.

Sebulan sebelum ia diterbitkan, Paknil dipanggil oleh pihak ASTRO untuk menanyakan samada Paknil berminat untuk menjadi hos rancangan ini. Eh, Paknil pelik juga masa tu. Lagi empat minggu nak diterbitkan, belum ada lagi ke pengacaranya? Memandangkan yang Paknil juga masa itu tak ada tawaran, Paknil tak tunggu lama untuk mengatakan SETUJU!

Setelah Paknil kaji konsep rancangan itu, Paknil terfikir juga untuk mewarnakan rancangan itu mengikut gaya dan citarasa tempatan. Yelah, kalau ikut stail Mexico mungkin tak sesuai dengan budaya kita, kan? Paknil tahu yang orang kita kuat dengan semangat kekeluargaan. Paknil tahu orang kita juga amat meminati cerita Hindustan. Paknil tahu jugak yang orang kita minat hiburan yang mempunyai unsur lawak.

Maka itulah sebabnya Paknil bawa rancangan itu seperti yang anda semua telah saksikan sejak AF1 lagi. Walaupun pada awalnya ramai yang merasa asing pada konsep pertandingan nyanyian menggunakan kuasa penonton seratus peratus dan ada pengkritik, tetapi makin minggu rancangan ini mula diperkatakan.

Dimana sahaja orang akan bercakap mengenai AF. Kiranya, siapa yang tak berborak pasal AF ketika itu dianggap ketinggalan lah. Semua jadi demam dan menatap kaca tv setiap hari untuk mengikuti Diari AF yang dirakam melalui kamera yang tersembunyi. Mereka jadi seronok mengikuti perangai anak-anak muda yang tidak menghiraukan kamera dibalik dinding dan mempamirkan pelbagai perangai!

Ada yang mula mengutuk Nana kerana cengeng dan gedik. Ada yang suka mengikuti cerita cinta mahu berputik Rosma dan Khai. Ada yang geram Atie masih bertahan.Ada yang suka dengan perangai lucu Vince dan Nija. Ada yang kasihan dengan rasa rendah diri Azizi dan Sahri. Ada yang tak percaya Burn dan Vince boleh sesuaikan diri dengan orang Melayu di bawah satu bumbung.

Paknil sendiri kena berkhemah di luar Akademi bersama pihak penerbitan yang lain mengamati perangai dan gelagat mereka secara harian. Paknil rasa begitu dekat dengan mereka dan memahami perangai setiap dari mereka walaupun tidak masuk ke dalam Akademi. Paknil Cuma bertemu dengan mereka ketika konsert sahaja. Ketika itu, Paknil begitu rapat dengan mereka dan mula rasa simpati, saying dan menghargai mereka.

Makin minggu makin teguh ikatan sesama mereka dan begitu juga di antara Paknil dengan mereka. Itulah sebabnya amat sukar untuk mereka dipisahkan bila tiba saat penyingkiran. Adegan Atie peluk kaki Adi ketika penyingkiran adalah yang paling klasik! Yang penting ramai yang memberikan reaksi yang pelbagai. Gelihati pun ada jugak bila kenang balik tapi ketika ia berlaku, ia adalah secara jujur. Tak ada skrip atau perancangan mengenainya.

Yang lebih trajis adalah ketika Rosma tersingkir. Jantung Paknil macam nak terberhenti bila namanya muncul pada beg yang bakal diusung keluar. Macam mana Paknil nak umumkan pun tak tahu sebab Paknil sendiri terperanjat dengan keadaan ketika itu.Rosma adalah antara pelajar yang dijangka akan beraksi diperingkat akhir tapi KEZZZUTAN ini benar-benar mendapat perhatian nasional!

Tak pasal-pasal insiden ini menjadi bualan dan amarah satu negara ketika itu dan keesokannya. Ramai penonton yang tidak puashati dengan keputusan yang mereka sendiri buat. Ada yang kata ASTRO pasang konspirasi lah. Ada yang kata Paknil salah baca lah. Ada yang kata tak patut rancangan ini diterbitkan lagilah. Ada yang kata tak mahu tengok AF lagi lah. Macam-macam reaksi. Yang pasti AF terus menjadi juadah tontonan setiap malam minggu.

Seluruh negara bagai kena perintah berkurung! Tak banyak keretadi jalanraya. Kenduri kahwin mesti tidak mendapat sambutan pada masa konsert AF sedang bersiaran. Seisi keluarga mula berkumpul di hadapan tv. Yang ayah kalau sebelum ini asyik ada hal diluar, kini dah mula jinak di rumah. Si anak awal-awal dah mula buat perancangan untuk keluar malam minggu agak lewat dari biasa. Si ibu akan sibuk menyediakan lauk pauk untuk makan malam bersama keluarga sambil menonton AF!

Begitulah antara kuatnya impak AF pada rata-rata keluarga Malaysia. Yang pasti ia juga turut memberikan impak yang besar dalam karier Paknil. Paknil mula diberi perhatian oleh penonton-penonton Malaysia. Paknil mula dipandang oleh stesen-stesen tv yang lain dan yang penting Paknil juga mula mendapat pengiktirafan besar dari majlis-majlis anugerah selepas itu. Alhamdulillah. Begitulah besarnya jasa AF dalam kerjaya Paknil yang paknil tidak akan lupakan sampai bila-bila.

Bila dah begitu sinonim Paknil dengan AF, jadi kenapa pula Paknil melepaskan tugasan menjadi pengacara AF setelah selesai AF5? Sebenarnya bukan senang Paknil nak umumkan pengunduran Paknil dari AF. Tapi Paknil kena lakukan untuk kepentingan banyak pihak. Pertama sekali Paknil pentingkan suara-suara negatif yang mula mengkiritik persembahan Paknil pada AF yang dikatakan hampir sama setiap tahun. Paknil akur dengan kata-kata orang yang menonton rancangan itu. Kalau tidak nanti orang kata Paknil syok sendiri pulak.

Mereka yang menonton dan jadi mereka lebih tahu apa yang mereka mahu tonton di kaca tv. Jadi Paknil rasa persembahan Paknil dah tak relevan lagi ketika itu. Itulah sebabnya Paknil membuka ruang untuk pengacara lain untuk mewarnakan AF. Mana lah tahu dengan pengacara baru, rancangan ini akan dapat nyawa baru. Jadi di sini, Paknil ketepikan kepentingan peribadi Paknil.

Sebab lain, Paknil kena juga jaga perasaan anak-anak dan famili Paknil. Bila teknologi bertambah canggih dengan kehadiran forum mencerca di internet dan kelantangan kritikan di saluran @15, pelbagai kutukan yang melukai hati anak-anak dan famili Paknil yang berlaku ketika itu. Paknil boleh terima kritikan orang tapi bagaimana dengan perasaan keluarga Paknil? Kasihan mereka yang tak semena-mena turut terpalit. Apabila Paknil lihat kutukan itu seperti tidak mahu berhenti atau berkurangan, Paknil rasa ini adalah masa yang sesuai untuk berhenti.

Paknil juga utamakan kepentingan rating rancangan ini kerana ia amat penting buat stesen tempat Paknil bekerja. Rating menentukan daya tahan sesebuah rancangan.Paknil tidak mahu bila orang mula muak dengan cara Paknil mengendalikan AF, rating Af akan jatuh dan ini bukan berita baik buat ASTRO yang telah melabur berjuta ringgit! Kiranya, tindakan Paknil adalah untuk terus mengekalkan AF sebagai rancangan nombor 1.

Jadi jelas, Paknil letakkan kepentingan peribadi Paknil sebagai sebab yang terakhir untuk Paknil mengundurkan diri dari AF. Walaupun masih tebal kasih sayang pada rancangan ini, namun Paknil tak boleh pentingkan diri sendiri dan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan yang Paknil katakan tadi. Paknil kena peka pada signal-signal yang diberikan agar Paknil cepat berundur.

Kini Paknil jadi permerhati setia rancangan yang dah nak masuk ke tahun yang ke tujuh ini. Bagi Paknil AF masih bertaring. AC Mizal dan Sarimah tidak gagal menangani rancangan ini. Mereka seharusnya patut diberi pujian kerana rancangan ini masih mendapat rating tertinggi di kalangan rancangan-rancangan yang di tayangkan di Astro. Seharusnya juga mereka terus diberi peluang untuk mewarnakan rancangan ini dan spekulasi Paknil mengambil alih semula AF sepatutnya tidak berlaku. Tidak ada perbincangan atau perancangan agar Paknil kembali pada AF.

Kini AF bakal muncul lagi. Paknil doakan ia bakal meneruskan kegemilangan AF seperti yang sebelum ini dan dapat melahirkan penghibur nombor satu negara seperti mana kita saksikan kelahiran nama besar seperti Mawi. Tidak dinafikan, bintang-bintang AF memang kuat kedudukannya dalam persada seni. Kalau tidak, mana mungkin pertandingan besar muzik dan majlis anugerah tanahair dihiasi serta diungguli bintang-bintang yang muncul dari Akademi Fantasia! Tahniah semua.

Wassalam

10 comments:

  1. modul x-factor takmo di ambil ke pakcil?
    cam best je

    af dah statik sangt
    xde pembaruan yg drastik

    erkk
    tetibe komen pasal hiburan
    ;)

    ReplyDelete
  2. pak nil..teruskan perjuangan... alah buat pekak je kalau orang kritik pak nil yang tak betul and negatif .. tak pun jadikan teladan dan perbaiki diri... diorang tak sedar kritik orang tapi macam bagus sangat diri tu....wasalam-mia

    ReplyDelete
  3. salam paknil.

    pada saya, paknil meninggalkan impak yang besar buat peminat AF. sampai sekarang orang masih boleh ingat apa yang berlaku di awal musim-musim AF terdahulu. sekarang macam dah kurang sedikit impaknya. mungkin sebab dah banyak rancangan realiti seperti AF

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikaum Uncle Aznil,

    Walaupun saya bukan orang M'sia, tetapi saya tahu mengenai pertandingan nyanyian AF. Selalu juga saya dengar dan baca dalam internet tentang apakah itu pertandingan AF.

    Dekat S'pura ni, pertandingan nyanyian banyak tapi mungkin tidak setanding dengan AF. Cuma yang terbaru sekarang ni, 'S'pore Idol' yang akan berakhir pada Ahad (27 Dec 2009). Tapikan uncle, dalam setiap pertandingan nyayian, saya tak faham kenapa peserta yang semua orang kata akan dapat masuk ke peringkat akhir, akhirnya kecundang? Salah siapakah itu?

    Alangkah bagusnya, kalau saya dapat menonton AF di S'pura. Mesti seronok.

    -Sofiah_Sulaiman (Singapura)-

    ReplyDelete
  5. Konsert AF mmg sentiasa di nantikan..tp Diari AF dah lama xtengok sgt Paknil..dah membosankan. Sy lebih suka kalau diperbanyakkan klip2 mereka sedang belajar @ diskas tugasan2 untuk konsert, berbanding dok gelak2, nangis2, ngorat2 & ape2 lagi yg memboankan. Klip yg xde kaitan dgn matlamat utama AF xperlulah dipanjang2kan...

    Apa2 pun, diharap Paknil muncul semula sbg pengacara AF. Tersenyum sorang2 kalau teringat gelagat Paknil! Pilihan kedua, mungkin Sarimah, coz she'2 more fun than previous host.

    ReplyDelete
  6. A'skum abg aznil...

    Hehe,1st time suzy tinggalkan komen diblog abg aznil yang baru ni ye...

    Anyway AF memang amat menghiburkan...

    Walaupun suzy bukan rakyat malaysia,namun AF tetap menjadi program realiti tv no.1 dihati...

    Sehingga kini suzy sering juga mengikuti perkembangan AF,bermula dari AF5 lagi...

    Ianya sesebuah program realiti tv yang benar-benar memberi peluang buat mereka yang ingin menonjolkan bakat...

    Keistimewaannya ialah,tidak dibenarkan pulang.Bukan saja itu,malah juga tidak dibenarkan menonton tv,mendengar radio & sebagainya.Mereka hanya diharuskan memberi konsentrasi kepada latihan vokal & sebagainya.Dengan cara itu,ianya membolehkan mereka untuk mengasah lagi bakat mereka yang sedia ada...

    Itulah yang membawa kelainan peserta-peserta AF dari peserta-peserta program realiti tv yang lain apabila mereka keluar dari sesebuah realiti tv kelak...

    Biasanya bekas-bekas pelajar AF akan lebih terserlah setelah keluar dari program tersebut oleh kerna bakat-bakat mereka.Overall,most of them are 'package'...

    Terus terang suzy lebih senang jikalau abg aznil yang jadi hosnya.Ac pun tak kurang hebatnya,but we still prefer u.Maybe coz AF dilahirkan oleh abg aznil sendiri sebagai pengacaranya sejak AF musim pertama lagi...

    Namun begitu,suzy tetap terima keputusan abg aznil untuk meninggalkan AF.I respect that :)

    SALAM SAYANG DARI,
    SUZYLINA ;)

    ReplyDelete
  7. AF- Pak Nil
    Pak Nil- AF
    Begitulah sinonim nye.....

    ReplyDelete
  8. Salam Bang Aznil!
    I like to read your blog.
    very interesting.
    btw, sy sdg buat program untuk sekolah2...
    sy harap abg aznil dapat join program ni, sbb program education kan. benda ni dapat guna untuk membantu anak2 kt sekolah.
    harap abg aznil dpt contact sy yerk.
    thanks!
    - MFirdausAH@gmail.com

    ReplyDelete
  9. Assalam...naper PAK NIL tinggal kan AF..x best r..
    Satu ag...naper PAK NIL x buat chat box...senang ckit nk smbg ngan peminat...huhu

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum pak nil.

    saya suka sangat rancangan AF. Apabila pak nil yang mengacarakan rancangan tersebut ia amat menarik, suasana sangat meriah dan hidup. walaupun pak nil telah membuat keputusan untuk berhenti dari AF, saya akan tetap sokong pak nil walau rancangan apa pun yang pak nil acarakan, kerana bagi saya pak nil amat berbeza dengan pengacara yang lain.wassalam.

    ReplyDelete