Alahai…siapa lah saya nak tegur geng-geng artis yang lain terutama pada artis-artis yang baru. Saya pun sama-sama cari makan dalam bidang seni yang semakin hari semakin sempit mungkin kerana ekonomi yang semakin mendung ni.
Namun hidup masih perlu diteruskan. Industri kita kecil sahaja jadi tak salah tegur-menegur. Kalau saya silap, tegurlah. InsyaAllah saya terima kalau ia konstruktif!
Eh, kemana saya nak bawa cerita saya ni? Macam jauh pulak pusing-pusingnya. Sebenarnya, tulisan ini adalah cetusan daripada berita gossip di HIP, sisipan hiburan Berita Harian 2 Januari di ruangan Dengarnya…oleh Norma Becok.
Di petik, “Kisahnya mengenai seorang penyanyi baru berbakat disembur penyanyi senior kerana tak reti jaga mulut.” Dilaporkan artis baru ni tidak puashati apabila artis senior ini mendapat layanan kelas pertama berbanding artis-artis lain yang hadir ketika itu.
Ambillah cerita ini sebagai teladan ya. Bukan apa, anggaplah industri ini sebagai hidup dalam satu keluarga, Yang tua dihormati dan yang muda disayangi. Barulah rukun hidup sekeluarga.
Kalau adik yang jauh lebih muda nak menempelak abang atau akak semata-mata kerana tak puashati, kenalah ada caranya. Namun, suara orang lebih muda jangan kita tidakkan terus.
Kita kena dengar juga dan yang muda pun janganlah langgar batasnya. Jangan nanti kita lupa adab sehingga jadi biadab pula!
Saya juga bermula dengan bergelar ‘artis baru’ 19 tahun yang lalu. Saya pun mempunyai darah muda yang suka memberontak juga tapi tak pernah lah pulak hilang rasa hormat pada artis-artis yang senior.
Saya juga hormat dengan Pak Aziz Satar, Ibu Yusni Jaafar (Allahyarham), Kak Pah (Datuk Sharifah Aini), Kak Yan (Azean Irdawaty), dan ramai lagi. Bila berjumpa atau terserempak tak pernah pulak saya melengahkan masa untuk bersalaman dengan mereka. Tetapi saya sendiri sedih melihat telatah artis-artis muda sekarang yang mungkin tidak sengaja melanggar sahaja batang hidung dan bahu artis-artis senior ni.
Bukanlah minta dihormati tetapi memadailah bertegur sapa. Kan kita anak-beranak, adik beradik. Bila susah, sama-sama dan begitu jugak bila senang.Cuba kita mulakan satu resolusi baru dalam diri kita untuk mendekatkan lagi diri kita dengan persekitaran kita.
Jangan lah jadi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tak salah kita menyapa artis senior sebab memang menjadi tanggungjawab kita mengenali mereka. Yelah, mereka sudah lama dalam bidang seni, tak kan lah yang baru ni tak kenal.
Lainlah artis senior ni, mungkin mereka dah tak terkejar perkembangan dunia seni lebih-lebih lagi waktu kini dimana penyanyi, pelakon, pelawak dan pengacaranya muncul macam cendawan.
Kadang-kadang saya jadi sedih bila melihat ada di antara artis baru seperti dari band indi, artis program realiti, pelakon-pelakon muda yang duduk berkumpul sesama mereka, ketawa mengilai-ngilai tanpa menghormati artis veteran dan senior yang turut hadir.
Lebih sedih bila mereka seronok bercerita sehingga terlupa menghulurkan kerusi yang mereka duduk itu kepada artis veteran ini yang berdiri terkebil-kebil berdekatan mereka.
Nak dijadikan keadaan lebih teruk bila kata-kata dan bahasa bual serta gurau artis muda ini yang agak keras dan kurang manis diucapkan secara kuat sehingga artis lama ini tersipu-sipu dan menggeleng kepala mendengarnya.
Ada juga yang tidak pandai menukar lenggok bahasa bila bercakap dengan artis lama ni. Mereka langgar sahaja susila berbual dengan menegur artis senior ini dengan nama, macam kawan-kawan seusia dengan mereka! Janganlah macam tu dik.
Tak rugi kita beri hormat pada mereka dengan pangkal gelaran Abang atau Kakak atau Pak atau Mak atau Uncle atau Auntie. Ini dapat menjadikan hubungan lebih akrab dan terasa ikatan tu lebih kuat. Bayangkan jika kita beradab seperti itu dan pada ketika sesebuah majlis, diperhatikan oleh orang luar seperti artis dari Indonesia, golongan korporat dan peminat-peminat. Mungkin mereka kagum dengan ikatan kita.
Berbalik pada cerita artis muda yang digossipkan oleh Normah Becok tadi, harap dapat ambil iktibar ok. Pihak media pun pandang perkara ini sebagai perkara yang sepatutnya dielakkan.
Layanan istimewa kepada artis lama ni kadang-kadang bukan diminta pun tetapi pihak penganjur yang beriya menatang mereka kerana bagi mereka mungkin artis ini begitu istimewa atau sebagai tanda hormat. Seharusnya kita kena turut rasa bangga bila ada golongan luar yang memandang tinggi kepada golongan artis.
Seharusnya juga golongan artis muda ini jadikan perkara ini sebagai satu suntikan semangat kepada dirinya agar satu hari nanti turut ditatang sebegitu rupa. Janganlah anggap kejayaan pertama sebagaii artis sudah melayakkan diri ditatang bagai minyak.
Kita sama-samalah cermin pencapaian kita. Saya sendiri sebagai artis senior, kadang-kadang dan ada ketikanya tidak dilayan sehebat artis yang jauh lebih junior dari saya seperti Datuk Siti dan Mawi.
Kalau saya tidak cerminkan diri saya mungkin saya juga akan melenting apabila saya tidak dilayan seperti mereka tapi kita kena kenal diri kita. Kita kena tahu kedudukan kita. Kita kena pandang diri kita.
Perkara yang sama juga pernah saya lalui ketika saya membuat persembahan di Sabah pertengahan tahun lalu. Saya dijemput untuk membuat persembahan bukan bersama-sama artis yang lain. Undangan persembahan saya adalah secara berasingan daripada artis-artis yang lain.
Ketika itu ada beberapa artis baru yang turut diundang seperti Aizat AF5, Nubhan AF6, Izwan Pilus, Farah Waheedah dan ramai lagi.Pihak pengurusan saya telah memaklumkan bayaran, kemudahan hotel, pengangkutan dan makan bagi pihak saya terlebih awal.
Hasil daripada persetujuan awal, sememangnya penganjur telah bersetuju untuk menyediakannya. Setiba di sana tentunya saya diberikan layanan seperti yang dipersetujui. Lagipun pihak penganjur juga memang bersedia untuk memberikan layanan VIP kepada saya. Alhamdulillah…inilah rezeki namanya.
Dalam pada itu, tidak terlintas pula di kepala saya bila layanan ini rupanya tidak disenangi oleh beberapa artis yang lain. Mereka yang tidak tahu persetujuan awal antara saya dan penganjur ini, mula mempersoalkan layanan yang diberikan kepada saya.
Jika saya tidak terdengar rungutan mereka mungkin tidak menjadi masalah kepada saya. Malangnya, nak dijadikan cerita bila seorang artis baru ni dengan lantang menegur saya di depan ramai orang lain. “Oh…inilah artis yang dilayan macam Menteri tu!”
Entahlah…nak ketawa tapi tak kelakar. Nak telan tapi pahit kata-katanya tu. Buat ketika itu saya cuma tersenyum pahit namun ada juga rasa kesal dengan sikap artis baru ni. Tak sangka lidahnya dan ucapannya bertindak lebih laju dari akalnya. Memandangkan dia masih budak dan orang baru, saya lupakan saja cerita ini. Namun, artis itu masih perlu diberitahu kesilapannya agar pandai menyesuaikan gurauan, teguran dan percakapan mengikut hiraki umur dan senioriti.
Masa saya baru berkecimpung dalam bidang glamour ini dulu, saya ada jugak diberitahu oleh Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) tentang pengalamannya apabila ada artis baru yang naik angin apabila Kak Pah dilayan seperti VIP.
Biarlah nama artis baru itu saya sendiri yang tahu. Akhirnya kini, artis itu terus hilang entah kemana. Alih-alih, rupanya cerita yang hampir sama berlaku pula pada diri saya. Tak apalah, sekurang-kurangnya saya lebih bersedia apabila pengalaman Kak Pah mengajar saya.
Saya selalu berpesan pada diri saya bahawa langit tidak selalu cerah, rumput tidak selalu hijau. Hidup umpama roda. Putaran roda kehidupan pasti berlaku. Panas yang disangka berpanjangan mungkin tidak akan sampai ke petang. Jadi siap sediakanlah payung sebelum hujan turun di tengahari!
Wassalam.