18 January, 2010

MENJUNJUNG KASIH TUANKU!

Ampun Tuanku. Patek ingin merafak sembah untuk Menjunjung Kasih atas pengurniaan Bintang Kebesaran Johan Mahkota Wilayah yang merupakan Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah Pangkat Keempat kepada patek sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2 Februari yang lalu oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapakan jutaan terima kasih buat YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga YB Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Raffique atas pencalonan nama saya bagi kurniaan bintang itu.

Alhamdulillah rezeki pengiktirafan ini merupakan petanda bahawa kerja-kerja dan pencapaian Paknil turut dipantau oleh pihak kerajaan.Selama ini, Paknil fikirkan orang akan mengambil mudah akan kerjaya sebagai pengacara dan juga penggiat di bidang penyiaran ini.Tak pernah pula Paknil fikirkan bahawa kerja Paknil akan diiktiraf dan diangkat begini rupa sejak Paknil buat keputusan untuk bergiat secara aktif di dalam bidang penyiaran.

Memang Paknil agak keliru sendiri bila masa Paknil harus membuat keputusan 19 tahun yang lalu untuk memilih ke bidang ini.Yelah, Paknil kan berkelulusan ekonomi dan bila terjebak ke bidang penyiaran sedikit sebanyak rasa rugilah tidak mempraktikkan apa yang Paknil pelajari di UM suatu ketika dulu.

Rupanya rezeki Paknil memang di sini dan sekejapan Paknil jatuh cinta dengan bidang yang Paknil baru ceburi ini ketika itu.Atas rasa cinta pada tugas inilah Paknil tidak pernah rasa penat dan terlintas untuk mengubah haluan kerjaya.Sedari awal Paknil sudah merasakan inilah tempat Paknil dan Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kerjaya Paknil di bidang ni, tidak pernah sekali pun Paknil rasa menyesal.

Bermula sebagai wartawan siaran di TV3 Paknil terus mencari ilmu seolah bekerja sambil belajar di stesen tv swasta pertama Negara ini. Tak pernah kenal apa itu hujung minggu. Tak pernah tahu apa itu balik awal. Janji kerja kena selesaikan dan tak boleh sambung esok! Itulah resam Paknil bekerja. Paknil akan selesaikan kerja hari ini jugak. Menyimpan kerja sampai besok, maknanya membusut lah lagi tanggungjawab yang menanti. Suhaimi Sulaiman, Fuad Rahman, Zalina Azman, Wee Yu Li, Noraini, Khatijah Buyong, antara kawan sekerja yang banyak membimbing terutama di bilik berita TV3. Terima kasih semua.

Sekejap betul waktu berjalan. Dari Fifi (anak sulong Paknil) berusia 1 tahun, kini dah 19 tahun, begitu jugalah usia penglibatan Paknil dalam bidang penyiaran.Suka atau tidak, AZWAN Ali adalah rakan baik Paknil masa mula-mula Paknil melibatkan diri dalam bidang yang penuh glamor ini. Dia yang banyak memperkenalkan Paknil akan asam garam dunia hiburan suatu ketika dulu.

Yang hak tetap hak. Yang bathil tetap bathil.Apa yang berlaku pada hubungan baik ini biarlah ia menjadi rahsia kami. Paknil mahu terus bergerak ke depan tanpa mahu menoleh lagi. Paknil rasa Azwan pun macam tu jugak. Paknil tak perlu menjawab lagi soalan mengenai ini dan tidak akan terbakar juga jika direnjis minyak. InsyaALLAH.

Banyak pengalaman yang Paknil kutip di sepanjang jalan kerjaya Paknil. Dihina, dicerca, diketawakan, diperlekehkan dan diambil ringan tetapi tentunya diseimbangkan dengan yang manis. Diiktiraf, diangkat, dijulang, dipuji dan dihargai.Paknil berdoa agar pujian manis itu tidak akan menjadi racun yang bisa akhirnya. Biarlah kesudahan episod kerjaya Paknil disudahi dengan babak-babak yang indah sahaja. Itulah doa Paknil.

Menjelang November tahun ini pun Paknil dah memanjat ke usia 47 tahun. Banyak lagi yang Paknil nak sumbangkan pada tempat tumpah darah Paknil.Mungkin tak seberapa yang boleh Paknil lakukan tetapi Paknil tetap ingin memberi.Terbaru pada Disember tahun lalu, di majlis penganugerahan Anugerah TV Asia, Paknil telah tersenarai antara pengacara pilihan juri untuk memenangi Anugerah Pengacara Hiburan Terbaik Asia! Alhamdulillah dan bersyukur sangat atas pemberian Nya. Tak pernah terlintas rupanya boleh berdiri sama tinggi dengan yang lain di pentas Asia.

Terima kasih kepada ASTRO tempat Paknil bernaung kerana mencalonkan Paknil untuk kategori itu melalui rancangan Jangan Lupa Lirik. Sekali lagi jawapan Paknil (mungkin dianggap klise), Paknil masa buat rancangan itu hanya inginkan yang terbaik untuk penonton Paknil bukan untuk juri anugerah.Ini semua bonus dalam kerja Paknil.

Namun bagi Paknil, bonus paling utama ialah apabila kerja kita mendapat keberkatanNya. Mendapat perhatian ramai. Dan menerima sokongan tak berbelah bagi dari keluarga tersayang. Paknil tebalkan saja telinga pada komen-komen negatif di laman forum mencerca internet dari sesetengah pihak yang mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan Paknil apabila dianugerahkan darjah bintang kebesaran.

Kita ukur baju di badan sendiri. Dan kadang-kadang tukang ukurnya adalah orang lain. Orang lain itu pulak biarlah orang yang arif. Siapalah Paknil nak memperlekehkan kerja orang dan begitu juga harap jangan lah memperlekehkan kerja dan tanggungjawab Paknil. Bagi Paknil kata-kata negatif itu juga adalah vitamin yang Paknil telan untuk terus bertahan.Paknil telan saja kutukan pahit mereka sebab bila difikirkan balik, penawar racun pun pahit!

Namun Paknil cuma harap mereka yang mencerca Paknil janganlah sampai mengaibkan keluarga Paknil. Satu-satunya yang Paknil tidak akan gadaikan untuk kejayaan Paknil. Seperti mana yang Paknil pernah katakan sebelum ini, perasaan mereka Paknil dahulukan. Itu sahaja permintaan Paknil. Sebagaimana ada manisnya dalam perjalanan kerjaya Paknil begitu juga ada manisnya dalam kenangan kehidupan Paknil sebagai anak jati Kuala Lumpur.

Dilahirkan dan dibesarkan di No: 22. Lorong Keramat Dalam 3, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Raja Muda, Sekolah Menengah Jalan Temerloh dan di Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur. Juga mendapat pendidikan di Fakulti Ekonomi Universiti Malaya juga di Kuala Lumpur.

Dari jalan tanah merah di depan rumah Paknil suatu ketika dulu dan kini berjiran dengan Menara Berkembar Kuala Lumpur. Paknil akan terus tersenyum dan mengelamun mengenangkan kembali zaman kanak-kanak dan remaja Paknil sebagai warga kota asal. Izinkan Paknil menyebut antara nama-nama yang menghiasi zaman cerita sejarah kenangan Paknil – Uli, Noin, Ayot, Tinat, Bobok, Apek, Ani Gedek, Nani, Ros, Charlie, Cha’ar, Kodin, Didu, Bro, Mi Goreng, Puyu, Gedik, Toyol, Wak Bari, Lek Yem, Wak Jarmin, Makcik Melati, Kak Enon, Abang Rahim, Nenek Jara, Chin, Syawal, Ano dan ramai lagi!

Mereka juga adalah antara nama yang akan Paknil terus semat tanda dan bukti Paknil tak akan pernah lupa asal usul Paknil. Angkatlah setinggi mana sekali pun. Sanjunglah sehebat dunia mana sekali pun! Di lorong kecil dan di kampong tengah kota itulah sebenarnya si polan ini mula berasal.

Tidak akan mampu kemuncak populariti, kecanggihan teknologi, darjah kebesaran, anugerah kemenangan, pangkat dan darjat yang dapat menukar wa’ima melupuskan fakta sejarah bahawa Aznil Haji Nawawi a.k.a Anil a.k.a Konel adalah anak jati Kuala Lumpur! Wasalam.

06 January, 2010

ERA BARU PAKNIL

Tak pernah termimpi untuk Paknil jadi DJ atau dalam erti kata sekarang Penyampai Radio. Semuanya berlaku secara tak sengaja. Alih-alih kini Paknil mengendalikan slot pagi hari di radio ERA melalui slot Riuh Pagi Era bersama Din Beramboi.

Sebelum Paknil teruskan bercerita mengenai kerja yang baru Paknil ceburi ni, biar Paknil ceritakan sedikit betapa peranan radio banyak mempengaruhi kehidupan Paknil dari dulu sehingga kini.

Zaman Paknil remaja dulu, radiolah teman setia kitorang yang remaja masa tu. Nama-nama seperti Zainal Abas, Tengku Mariam, Noramin, Nornikman, Zainal Din, Chuari Selamat, Angrahi Selamat, Noraini Ibnu, Wan Noraini, Pakcik Jamal dan ramai lagi menjadi idola kami.

Masa tu, radio ada macam-macam rancangan yang diterbitkan dalam sehari. Diorang tak main lagu aje macam sekarang. Radio bertindak lebih hebat dari tv!

Kalau di awal pagi rancangan ‘Mutiara Iman’ memang menjadi permulaan hari yang baik. Di samping ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan, terdapat juga mutiara kata dan tazkirah yang membimbing pendengar.

Dalam pukul 10 pagi, rancangan kanak-kanak seperti’ Taman Kanak-Kanak’ (bersama Pakcik Jamal) dan ‘Apa Itu’ (kelolaan Kak Yong dan Busu Noramin). Memang rancangan seperti inilah yang mengajar Paknil akan cara bercakap dengan kanak-kanak seperti yang anda semua dapat saksikan dalam Tom Tom Bak.

Pakcik Jamal dan Kak Yong begitu bijak melentur suara sehingga menjadi mesra pendengar cilik. Pernah paknil menghantarkan pendapat kepada rancangan ‘Apa Itu’ dan dibacakan oleh Kak Yong dan Busu Noramin! Satu hari suntuk Paknil tersenyum saja hari tu. Bangga sesangat!

Dalam pukul 11 pagi setiap hari pasti Paknil akan terleka dengan drama radio ‘Nombor Lima Persiaran Satu’. Siapa yang membesar di zaman Paknil yang tak kenal dengan rancangan popular ini. Ia merupakan drama radio yang sangat hebat mengenai kehidupan seharian sebuah keluarga melayu. Walaupun ia hanya sebuah drama radio, tetapi kami pendengar merasakan seolah-olah keluarga itu benar-benar wujud!

Menjelang waktu makan tengahari sehingga petang, Paknil akan turut terleka dengan drama radio yang hebat-hebat belaka. Sama seperti telenovela di tv, tetapi hanya berbekalkan audio dan kesan bunyi, drama ini boleh membuat pendengarnya menangis. Termasuk Paknil!

Adibah Amin adalah pelakon drama radio yang paling Paknil gemari disamping Fauziah Nawi. Lakonan yang mantap disamping kesan bunyi dan muzik latar yang tepat, ramai yang terpaku di tepi speaker radio.

Paknil teringin sangat nak terbitkan drama radio untuk dijadikan juadah telinga pendengar masa kini terutama generasi baru yang tidak mengenali drama seperti ini. Kita banyak bermain dengan imaginasi terutama dari lakaran wajah dan situasi sebab ia tiada visual yang membantu. Di sinilah letaknya kehebatan dan keunikan drama radio.

‘Fajar Di Bumi Permata’ adalah antara drama radio bersiri yang sangat popular. Ia berkisar kehidupan peneroka-peneroka Felda. Tak silap jika dikatakan ia lebih berupa medium propaganda kerajaan pada masa itu yang agak berkesan.

Berita radio jangan ceritalah. Hampir setiap awal jam akan kedengaran bunyi detik jam tanda berita radio yang hanya berdurasi selama 5 minit ke udara. Ayah Paknil orang yang akan menguatkan bunyi suara radio pada ketika ini.

Di waktu malam, remaja-remaja akan memberi tumpuan pula kepada Radio FM satu-satunya radio yang menggunakan gelombang FM yang hanya memulakan siaran pada pukul 9 malam sehingga pukul 12 malam. ‘Pilihan Bersama’ adalah rancangan kesukaan ramai yang memainkan lagu permintaan pendengar secara pukal! Pendengar diberikan pilihan untuk memilih 5 hingga 6 lagu secara berterusan tanpa gangguan DJ! Hebatkan kan?

Itulah radio di zaman Paknil membesar. Paknil belajar berlakon di situ. Belajar menyanyi di situ. Belajar bertutur dengan baik pun di situ. Lengkap pakej yang ditawarkan.

Kini masa sudah meninggalkan era radio seperti itu jauh sekali. Kini radio lebih mempertaruhkan hanya lagu dan penyampai-penyampainya untuk menarik minat pendengar.

Hilang sudah rancangan kanak-kanak, drama radio, berita radio dan rancangan untuk suri rumahtangga.Zaman dah berubah. Radio dijadikan sebagai teman ringan di rumah, pejabat dan di dalam kereta.

Sebenarnya Paknil telah ditawarkan menjadi penyampai radio Era sejak zaman Seelan Paul di Era lagi. Seelan menawarkan Paknil slot pagi di Era tapi pada masa itu Paknil tak yakin dan lebih memberi tumpuan kepada pengacaraan tv.

Walaupun Paknil sebelum itu pernah menjadi DJ di radio swasta Rfm (terima kasih KC Ismail kerana percaya pada Paknil) suatu ketika dahulu, tetapi cinta pada penyiaran radio belum berkembang sepenuhnya.

Masa itu, DJ boleh memutarkan lagu-lagu kegemaran sendiri kerana berbekalkan CD koleksi kami. Paknil kira expert jugaklah menangani panel konti ketika itu sendirian.

Mulai tahun 2006 Paknil berjinak-jinak dengan Carta Era bersama Nana. Walaupun ia rakaman tetapi Paknil bertindak sebagai penyampai. Cara penyampaiannya pun sudah berubah berbanding dahulu.

Kini ia lebih bersahaja dan spontan. Bebas memecahkan keadaan dengan lawak spontan. Ada sahaja yang kami bualkan selama tiga jam!

Dari situ, Paknil ditawarkan lagi untuk menyertai Era secara lebih serius untuk bersama krew pagi apabila Khairil dan Kieran berpisah. Oleh kerana jadual kerja tv Paknil yang menuntut Paknil bekerja sehingga lewat malam, Paknil terpaksa tolak tawaran Era sekali lagi. Paknil cuma bersedia untuk bersama Era bermula pukul 10 pagi sahaja.

Di slot itulah Paknil banyak belajar mengenai RADIO.Walaupun kami tidak memutarkan lagu kerana semua lagu sudah diatur di dalam komputer, tetapi Paknil diberi peluang lebih dari memutarkan lagu. Paknil diberi peluang untuk mendekatkan diri dengan orang ramai.

Tanpa Paknil sangka, Paknil sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan pendengar Era. Bukan sekadar menjadi penyampai tetapi sebagai teman mereka.

Mereka dirasakan begitu dekat dengan Paknil. Ada yang hampir setiap hari menelefon dan menjadi pemanggil tetap slot Paknil bekerja. Ada yang berkongsi kesedihan, ada yang berkongsi kegembiraan dan yang paling istimewa apabila ada yang berkongsi kasih sayang!

Itu lah magisnya dunia penyiaran radio rupanya. Bila Paknil bercuti, perasaan rindu pada kerja dan pendengar Era membuak-buak sehingga teruja dan tidak sabar untuk kembali bertugas. Begitu juga rupanya dengan pendengar setia Paknil yang ingin cepat Paknil kembali bertugas.

Lebih hebat, bila ada yang menghantarkan pelbagai hadiah dan makanan ke studio Era. Ada yang tidak lupa harijadi Paknil. Ada yang hantar jajan seperti coklat, keropok, gula-gula dan sebagainya.

Yang lebih hebat ada pendengar Era dari Seremban yang datang sendiri ke ASTRO untuk memberikan kek dan kuih muih buatan mereka! Lebih dari itu, ada yang menghantar kuih talam, nasi kerabu, kek cawan dan selimut buatan sendiri!

Namun begitu itu, itu soal material yang Paknil cukup hargai. Yang lebih utama mengatasi segalanya ialah apabila Paknil dapat berkongsi kasih sayang Paknil pada mereka.

Ada ibu tua yang sering menelefon menanya khabar dan berkongsi cerita sedih. Ada pesakit kanser yang merayu kesakitan sehingga menemui ajal tetapi masih mahu mendengar suara ini. Kami bersama pendengar lain menangis dan meratap pemergiannya dan ini belum pernah Paknil lalui ketika beraksi di kaca tv.

Apa lagi doa-doa yang mereka kirimkan demi kesihatan, keselamatan dan kebahagiaan Paknil. Paknil betul-betul rasa dihargai.

Pelbagai cerita suka duka yang Paknil abadikan dan semua ini diluar jangkaan Paknil sehingga menerbitkan rasa cinta yang teramat pada bidang ini.

Siapa sangka setelah menolak dua kali tawaran mengendalikan slot pagi di Era, kini Paknil beraksi bersama Din Beramboi meriuhkan pagi pendengar Era!

Paknil tak boleh menolak lagi. Paknil dambakan cabaran dan khalayak yang lebih besar lagi dalam kerja Paknil. Entahlah…masih terlalu awal untuk Paknil nilai prestasi kerja Paknil dan minat pendengar.

Namun kerja ini dah jadi rutin harian baru buat Paknil. Tidor seawal 9 malam dan bangun seawall 4 pagi! Perkara yang belum pernah Paknil lakukan secara harian sebelum ini tetapi kini Paknil tempuhi.

Pengorbanan ini bukan untuk sesiapa selain untuk kepuasan diri Paknil dan pendengar Era. Agak mencabar juga waktu di studio. Banyak yang harus ditangani dan masa 4 jam (6 hingga 10pagi) dirasakan begitu cepat berjalan.

Kami terus menggeletek pendengar kami sehingga pada suatu ketika Paknil dikejutkan dengan satu SMS yang menyayat hati. Kisah kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang ibu dan anaknya apabila kereta yang dipandunya berlanggar, meletup dan terbakar! Kisah ini diceritakan sendiri oleh pendengar Era yang kebetulan mengenali keluarga mangsa.

Kami tidak boleh ketawa lagi ketika itu. Rupanya dalam sibuk kami menceriakan pagi pendengar, ada insan yang menangisi pagi harinya.

Nada kami jadi perlahan terutama apabila kami menghubungi Encik Kamarulzaman suami dan ayah kepada mangsa. Ketika itu kami tahu, berjuta pendengar terpaku mendengar cerita sedih ini.

Bukan menangguk pada kesedihan, kami benar-benar terpanggil untuk menghulurkan bahu kami untuk menangis bersama dan menyuntik kata semangat kepada keluarga malang itu.

Ketika itu, Paknil dapat lihat dimensi baru lagi penyiaran radio bila talian telefon tidak henti berdering untuk menghulur kata semangat dan rasa simpati. Besarnya pengaruh radio. Dalam sekelip mata, perhatian sudah diberikan.

Keluarga besar Era tidak berhenti di situ. Selesai bekerja kami terus murung tetapi tetap memikirkan apa yang boleh kami lakukan untuk keluarga ini.

Mungkin sumbangan yang kecil tidak dapat mengembalikan sinar keluarga ini, tetapi kami berazam untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka selagi mampu.

Lembaran baru dalam diari hidup Paknil sudah bermula dan Paknil tidak akan menoleh kebelakang lagi. Paknil akan terus pegang tanggungjawab besar dalam masyarakat sebab baru kini Paknil sedar ada tanggungjawb berat dalam kerja yang mungkin dianggap mudah oleh sesetengah golongan.

Kerja yang ada menyangka untuk mengejar glamor dan nama. Kerja yang sering dikritik ramai dan dibandingkan.Rupanya itu bukan cabaran sebenar bidang ini. Ada yang lebih besar menanti rupanya!

Itulah sebenarnya ERA baru dalam hidup Paknil.

Wassalam.