06 January, 2010

ERA BARU PAKNIL

Tak pernah termimpi untuk Paknil jadi DJ atau dalam erti kata sekarang Penyampai Radio. Semuanya berlaku secara tak sengaja. Alih-alih kini Paknil mengendalikan slot pagi hari di radio ERA melalui slot Riuh Pagi Era bersama Din Beramboi.

Sebelum Paknil teruskan bercerita mengenai kerja yang baru Paknil ceburi ni, biar Paknil ceritakan sedikit betapa peranan radio banyak mempengaruhi kehidupan Paknil dari dulu sehingga kini.

Zaman Paknil remaja dulu, radiolah teman setia kitorang yang remaja masa tu. Nama-nama seperti Zainal Abas, Tengku Mariam, Noramin, Nornikman, Zainal Din, Chuari Selamat, Angrahi Selamat, Noraini Ibnu, Wan Noraini, Pakcik Jamal dan ramai lagi menjadi idola kami.

Masa tu, radio ada macam-macam rancangan yang diterbitkan dalam sehari. Diorang tak main lagu aje macam sekarang. Radio bertindak lebih hebat dari tv!

Kalau di awal pagi rancangan ‘Mutiara Iman’ memang menjadi permulaan hari yang baik. Di samping ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan, terdapat juga mutiara kata dan tazkirah yang membimbing pendengar.

Dalam pukul 10 pagi, rancangan kanak-kanak seperti’ Taman Kanak-Kanak’ (bersama Pakcik Jamal) dan ‘Apa Itu’ (kelolaan Kak Yong dan Busu Noramin). Memang rancangan seperti inilah yang mengajar Paknil akan cara bercakap dengan kanak-kanak seperti yang anda semua dapat saksikan dalam Tom Tom Bak.

Pakcik Jamal dan Kak Yong begitu bijak melentur suara sehingga menjadi mesra pendengar cilik. Pernah paknil menghantarkan pendapat kepada rancangan ‘Apa Itu’ dan dibacakan oleh Kak Yong dan Busu Noramin! Satu hari suntuk Paknil tersenyum saja hari tu. Bangga sesangat!

Dalam pukul 11 pagi setiap hari pasti Paknil akan terleka dengan drama radio ‘Nombor Lima Persiaran Satu’. Siapa yang membesar di zaman Paknil yang tak kenal dengan rancangan popular ini. Ia merupakan drama radio yang sangat hebat mengenai kehidupan seharian sebuah keluarga melayu. Walaupun ia hanya sebuah drama radio, tetapi kami pendengar merasakan seolah-olah keluarga itu benar-benar wujud!

Menjelang waktu makan tengahari sehingga petang, Paknil akan turut terleka dengan drama radio yang hebat-hebat belaka. Sama seperti telenovela di tv, tetapi hanya berbekalkan audio dan kesan bunyi, drama ini boleh membuat pendengarnya menangis. Termasuk Paknil!

Adibah Amin adalah pelakon drama radio yang paling Paknil gemari disamping Fauziah Nawi. Lakonan yang mantap disamping kesan bunyi dan muzik latar yang tepat, ramai yang terpaku di tepi speaker radio.

Paknil teringin sangat nak terbitkan drama radio untuk dijadikan juadah telinga pendengar masa kini terutama generasi baru yang tidak mengenali drama seperti ini. Kita banyak bermain dengan imaginasi terutama dari lakaran wajah dan situasi sebab ia tiada visual yang membantu. Di sinilah letaknya kehebatan dan keunikan drama radio.

‘Fajar Di Bumi Permata’ adalah antara drama radio bersiri yang sangat popular. Ia berkisar kehidupan peneroka-peneroka Felda. Tak silap jika dikatakan ia lebih berupa medium propaganda kerajaan pada masa itu yang agak berkesan.

Berita radio jangan ceritalah. Hampir setiap awal jam akan kedengaran bunyi detik jam tanda berita radio yang hanya berdurasi selama 5 minit ke udara. Ayah Paknil orang yang akan menguatkan bunyi suara radio pada ketika ini.

Di waktu malam, remaja-remaja akan memberi tumpuan pula kepada Radio FM satu-satunya radio yang menggunakan gelombang FM yang hanya memulakan siaran pada pukul 9 malam sehingga pukul 12 malam. ‘Pilihan Bersama’ adalah rancangan kesukaan ramai yang memainkan lagu permintaan pendengar secara pukal! Pendengar diberikan pilihan untuk memilih 5 hingga 6 lagu secara berterusan tanpa gangguan DJ! Hebatkan kan?

Itulah radio di zaman Paknil membesar. Paknil belajar berlakon di situ. Belajar menyanyi di situ. Belajar bertutur dengan baik pun di situ. Lengkap pakej yang ditawarkan.

Kini masa sudah meninggalkan era radio seperti itu jauh sekali. Kini radio lebih mempertaruhkan hanya lagu dan penyampai-penyampainya untuk menarik minat pendengar.

Hilang sudah rancangan kanak-kanak, drama radio, berita radio dan rancangan untuk suri rumahtangga.Zaman dah berubah. Radio dijadikan sebagai teman ringan di rumah, pejabat dan di dalam kereta.

Sebenarnya Paknil telah ditawarkan menjadi penyampai radio Era sejak zaman Seelan Paul di Era lagi. Seelan menawarkan Paknil slot pagi di Era tapi pada masa itu Paknil tak yakin dan lebih memberi tumpuan kepada pengacaraan tv.

Walaupun Paknil sebelum itu pernah menjadi DJ di radio swasta Rfm (terima kasih KC Ismail kerana percaya pada Paknil) suatu ketika dahulu, tetapi cinta pada penyiaran radio belum berkembang sepenuhnya.

Masa itu, DJ boleh memutarkan lagu-lagu kegemaran sendiri kerana berbekalkan CD koleksi kami. Paknil kira expert jugaklah menangani panel konti ketika itu sendirian.

Mulai tahun 2006 Paknil berjinak-jinak dengan Carta Era bersama Nana. Walaupun ia rakaman tetapi Paknil bertindak sebagai penyampai. Cara penyampaiannya pun sudah berubah berbanding dahulu.

Kini ia lebih bersahaja dan spontan. Bebas memecahkan keadaan dengan lawak spontan. Ada sahaja yang kami bualkan selama tiga jam!

Dari situ, Paknil ditawarkan lagi untuk menyertai Era secara lebih serius untuk bersama krew pagi apabila Khairil dan Kieran berpisah. Oleh kerana jadual kerja tv Paknil yang menuntut Paknil bekerja sehingga lewat malam, Paknil terpaksa tolak tawaran Era sekali lagi. Paknil cuma bersedia untuk bersama Era bermula pukul 10 pagi sahaja.

Di slot itulah Paknil banyak belajar mengenai RADIO.Walaupun kami tidak memutarkan lagu kerana semua lagu sudah diatur di dalam komputer, tetapi Paknil diberi peluang lebih dari memutarkan lagu. Paknil diberi peluang untuk mendekatkan diri dengan orang ramai.

Tanpa Paknil sangka, Paknil sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan pendengar Era. Bukan sekadar menjadi penyampai tetapi sebagai teman mereka.

Mereka dirasakan begitu dekat dengan Paknil. Ada yang hampir setiap hari menelefon dan menjadi pemanggil tetap slot Paknil bekerja. Ada yang berkongsi kesedihan, ada yang berkongsi kegembiraan dan yang paling istimewa apabila ada yang berkongsi kasih sayang!

Itu lah magisnya dunia penyiaran radio rupanya. Bila Paknil bercuti, perasaan rindu pada kerja dan pendengar Era membuak-buak sehingga teruja dan tidak sabar untuk kembali bertugas. Begitu juga rupanya dengan pendengar setia Paknil yang ingin cepat Paknil kembali bertugas.

Lebih hebat, bila ada yang menghantarkan pelbagai hadiah dan makanan ke studio Era. Ada yang tidak lupa harijadi Paknil. Ada yang hantar jajan seperti coklat, keropok, gula-gula dan sebagainya.

Yang lebih hebat ada pendengar Era dari Seremban yang datang sendiri ke ASTRO untuk memberikan kek dan kuih muih buatan mereka! Lebih dari itu, ada yang menghantar kuih talam, nasi kerabu, kek cawan dan selimut buatan sendiri!

Namun begitu itu, itu soal material yang Paknil cukup hargai. Yang lebih utama mengatasi segalanya ialah apabila Paknil dapat berkongsi kasih sayang Paknil pada mereka.

Ada ibu tua yang sering menelefon menanya khabar dan berkongsi cerita sedih. Ada pesakit kanser yang merayu kesakitan sehingga menemui ajal tetapi masih mahu mendengar suara ini. Kami bersama pendengar lain menangis dan meratap pemergiannya dan ini belum pernah Paknil lalui ketika beraksi di kaca tv.

Apa lagi doa-doa yang mereka kirimkan demi kesihatan, keselamatan dan kebahagiaan Paknil. Paknil betul-betul rasa dihargai.

Pelbagai cerita suka duka yang Paknil abadikan dan semua ini diluar jangkaan Paknil sehingga menerbitkan rasa cinta yang teramat pada bidang ini.

Siapa sangka setelah menolak dua kali tawaran mengendalikan slot pagi di Era, kini Paknil beraksi bersama Din Beramboi meriuhkan pagi pendengar Era!

Paknil tak boleh menolak lagi. Paknil dambakan cabaran dan khalayak yang lebih besar lagi dalam kerja Paknil. Entahlah…masih terlalu awal untuk Paknil nilai prestasi kerja Paknil dan minat pendengar.

Namun kerja ini dah jadi rutin harian baru buat Paknil. Tidor seawal 9 malam dan bangun seawall 4 pagi! Perkara yang belum pernah Paknil lakukan secara harian sebelum ini tetapi kini Paknil tempuhi.

Pengorbanan ini bukan untuk sesiapa selain untuk kepuasan diri Paknil dan pendengar Era. Agak mencabar juga waktu di studio. Banyak yang harus ditangani dan masa 4 jam (6 hingga 10pagi) dirasakan begitu cepat berjalan.

Kami terus menggeletek pendengar kami sehingga pada suatu ketika Paknil dikejutkan dengan satu SMS yang menyayat hati. Kisah kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang ibu dan anaknya apabila kereta yang dipandunya berlanggar, meletup dan terbakar! Kisah ini diceritakan sendiri oleh pendengar Era yang kebetulan mengenali keluarga mangsa.

Kami tidak boleh ketawa lagi ketika itu. Rupanya dalam sibuk kami menceriakan pagi pendengar, ada insan yang menangisi pagi harinya.

Nada kami jadi perlahan terutama apabila kami menghubungi Encik Kamarulzaman suami dan ayah kepada mangsa. Ketika itu kami tahu, berjuta pendengar terpaku mendengar cerita sedih ini.

Bukan menangguk pada kesedihan, kami benar-benar terpanggil untuk menghulurkan bahu kami untuk menangis bersama dan menyuntik kata semangat kepada keluarga malang itu.

Ketika itu, Paknil dapat lihat dimensi baru lagi penyiaran radio bila talian telefon tidak henti berdering untuk menghulur kata semangat dan rasa simpati. Besarnya pengaruh radio. Dalam sekelip mata, perhatian sudah diberikan.

Keluarga besar Era tidak berhenti di situ. Selesai bekerja kami terus murung tetapi tetap memikirkan apa yang boleh kami lakukan untuk keluarga ini.

Mungkin sumbangan yang kecil tidak dapat mengembalikan sinar keluarga ini, tetapi kami berazam untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka selagi mampu.

Lembaran baru dalam diari hidup Paknil sudah bermula dan Paknil tidak akan menoleh kebelakang lagi. Paknil akan terus pegang tanggungjawab besar dalam masyarakat sebab baru kini Paknil sedar ada tanggungjawb berat dalam kerja yang mungkin dianggap mudah oleh sesetengah golongan.

Kerja yang ada menyangka untuk mengejar glamor dan nama. Kerja yang sering dikritik ramai dan dibandingkan.Rupanya itu bukan cabaran sebenar bidang ini. Ada yang lebih besar menanti rupanya!

Itulah sebenarnya ERA baru dalam hidup Paknil.

Wassalam.

11 comments:

  1. Paknil, cita- cita saya nak jadi DJ. selalu practice sorang- sorang. It is fun untuk hiburkan hati org lain kan?

    ReplyDelete
  2. Salam paknil.

    Saya harap suatu hari nanti paknil juga akan diingati macam mana orang sekarang boleh ingat zainal abas norakmin dan lain-lain.

    ReplyDelete
  3. salam paknil....hati yang ikhlas akan di balas dengan seribu kebaikan...inilah anugerah yg terbaik buat paknil...amin.....teruskan usaha selagi mampu utk melakukannya

    ReplyDelete
  4. salam paknil saya amat berminat nak ajak paknil jadi penulis kreatif blog terbaru saya.Berikutan saya peminat setia paknil sejka dulu lagi.jika sudi hubungi saya dengan hantar komen kembali ke blog saya ini http://www.mamamurai.com/

    ReplyDelete
  5. sy juga salah seorang pendengar papa remaja (hip hop remaja) di rfm dulu.. Mungkin pada masa tu pak nil kenal akan suara sy yg slalu jer call paknil stp mggu. sy juga minat ber dj & skrg cuma mengisi minat itu di online radio.. peranan ttp sama menghiburkan di samping cuba menyelitkan mesej2 baik & info2 yg berguna.

    ReplyDelete
  6. Salam,
    Tahniah dan terima kasih kerana berjaya sebagai penghibur yang hebat dan kerana menggembirakan serta menceriakan hari kami pak nil

    ReplyDelete
  7. salam paknil,
    tahniah atas kejayaan paknil sekarang :) tak semua org dapat capai sehingga ke tahap yg paknil capai sekarang... u should proud of urself :)

    ReplyDelete
  8. pak nil..teringin nak tengok gambar paknil dengan anak-anak.... agaknye, ape yang anak-anak paknil buat sekarang??

    ReplyDelete
  9. Hmmm..10-1 di Era.sgt nostalgia kn..paknil msh ingat sajak ni..yg sy nukil kn mewakili hati pendgr lain?..

    ANIl
    kau laksana bulan
    tinggi di atas kayangn
    tidak terik cahaya mu terang benderang
    tidak silau cahaya mu mendamaikan
    hati kami telah kau tawan!

    Kau menemani di ruang tamu
    sepi hati seorang ibu
    kau menemani di pejabat
    melega kan otak yg hampir tersumbat
    kau menemani di dlm kenderaan
    mengharungi kesesakan

    ANIl
    Terus lah menghiburkan
    wlu jiwa mu merintih kepedihan
    tebar kn lah sayap kasih sayang mu
    keserata ceruk penjuru
    kerna kami perlu kamu!

    Terima kasih Tuhan kerna seorang AZNIL yg Kau anugerah kan...

    masa sy bc sajak ni paknil nangis..sy pun benar nya nangis juga..ibu tua yg paknil ckp tu makcik kintan..sy 'jatuh hati' dgn paknil pun sbb terpaut dgn perbualan paknil dn makcik kintan...( sblum ni sy xkisah pun sapa itu aznil..hahaha )yg hantar nasi kerabu ialah Poksu,..jajan seperti gula2 dn asam di hantar oleh maklong dan rahimah kelana jaya..anne yg xpernah lupa poskan kad utk paknil di hari istemiwa..lain2 sy ingat tp panjang nk tulis...( begitu lh pengaruh nya ERA dn PAKNIL!...sy blh ingat perbualan paknil dgn pndgr lain apalg perbualan dgn sy sendiri..semua sy ingat tanpa rekod!..

    Terus lah menghiburkan insyaallah ALLAH akan menghibur kn hati mu...

    ReplyDelete
  10. Assalammualaikum Uncle,

    Dalam hidup inikan uncle, saya percaya kalau Allah sudah tulis bahawa kita ada rezeki dan jodoh itu tidak kemana, insyallah kita akan dapat juga walaupun pada mulanya kita tolak tawaran itu sebanyak 2 kali ataupun lebih.

    Kalau uncle hendak tahu, station radio Singapura lebih kurang sama dengan station radio di ERA. Tapi saya rasakan uncle, zaman dahulu orang lebih gemar mendengar radio berbanding dengan menonton tv. Mungkin ini kerana zaman dahulu, rancangan yang ada di tv tidak menarik seperti sekarang.

    Kalau zaman dahulukan uncle, masa saya masih kanak-kanak, di radio banyak disiarkan drama di radio seperti yang uncle kata, walaupun kita hanya mendengar dan kita imeginasikan saja tapi kita dapat menghayati drama tersebut sampai menitiskan airmata kadang-kadang. Tapi mungkin, zaman pun sudah berubah dan zaman sekarang ini DJ-DJ, lebih banyak memainkan lagu dari bercakap. Sampaikan kadang-kadang saya rasa, pendengar mendengar radio sebab mereka hendak mendengar lagu, itu saja.

    Walaupun zaman dahulu ke, zaman sekarang ke, bagi saya, radio memang jadi teman penghibur saya di kala saya kesunyian dan keseorangan. Kalau hidup ini tidak ada radio mesti bosan.

    -Sofiah_Sulaiman (Singapura)-

    ReplyDelete
  11. salam paknil..anugerah paling baik yg boleh diberikan kepada paknil adalah "artis paling cerdik" dalam erti kata, paknil adalah artis yang mempunyai banyak kelebihan walau apa pun paknil buat... kelebihan ini satu datang dari Allah S.W.T dan keduanya kecerdikan yg paknil ada dalam mengurus diri paknil dan kerjaya... paknil artis hebat...ramai peminat sayang paknil dan doakan yg terbaik utk paknil di dunia dan akhir....satu yg paknil perlu tahu, paknil dah banyak menceriakan masyarat.. dan paknil ramai sgt peminat diluar... cuma bg saya 1 jer..nak mohon....buat apa saje kerja baik tapi jangan terlibat ngan politik

    ReplyDelete