30 May, 2012

BETUL KE ADA KEAJAIBAN BULAN REJAB DAN SYAABAN?

Assalamualaikum Sekarang ini kita berada di bulan Rejab dan ini bermakna dua bulan lagi kita akan mula melangkah ke bulan Ramadhan yang mulia. Bulan puasa yang dinantikan oleh umat Islam yang mana pahala puasa melimpah terutama disokong oleh pahala sunat lain seperti solat Terawikh dan Lailatul Qadar. Namun begitu ketika bulan Rejab dan Syaaban ini, ramai pula di laman sosial media Twitter yang mempunyai pelbagai pendapat mengenai fadhilat berpuasa sunat di dua bulan ini. Sejak dari kecil lagi Paknil sering terdengar akan kelebihan berpuasa sunat di bulan Rejab dan Syaaban ini terutama dari ustaz di sekolah dan juga orang-orang tua. Ada di antara dalilnya pula bersandarkan riwayat Al-Thabrani dari Said Bin Rasyid yang mengatakan " Barangsiapa berpuasa sehari di bulan Rejab maka ia laksana berpuasa setahun. Bila berpuasa 7 hari maka ditutuplah untuknya pintu-pintu neraka Jahanam. Bila berpuasa 8 hari dibukakan untuknya 8 pintu syurga. Bila berpuasa 10 hari, Allah akan mengkabulkan semua permintaannya". Wallahualam. Dalil yang tiada siapa dapat mengesah kesahihannya ini terus berleluasa di laman Twitter namun ia terus menjadi teka-teki. Bila ia menjadi teka-teki, ia juga turut terus menjadi perbalahan pendapat di kalangan warga laman sosial media itu. Paknil lihat ini sebagai sesuatu yang sangat merbahaya dan tidak menguntungkan umat Islam. Dalam pada itu, Paknil juga turut terbaca mesej Twitter dari Imam Muda Asyraf yang turut ditanyakan mengenai kelebihan berpuasa di bulan Rejab atau Syaaban. Menurutnya, memang terdapat banyak hadis dhaif dan mawddhu' berkenaan kelebihan Rejab. Namun ianya tetap sunnah dibanyakkan berpuasa kerana ia tergolong dalam bulan-bulan haram. Dengan sebaris ayat ini, rasanya ia tidak banyak membantu kerana masih tidak begitu jelas. Dari mesej Dr Mohd Asri Zainul Abidin di laman Twitter pula, beliau amat jelas menyangkal kelebihan dua bulan menjelang Ramadhan ini. Katanya, kebanyakan hadis tentang fadhilat bulan Rejab ini adalah palsu dan teramat daif. Menurutnya lagi, menyebarkan hadis dalam kategori ini tanpa penerangan adalah haram. Rupanya, pertelagahan pendapat ini turut terdapat di kalangan pengamal-pengamal media terutama di blog-blog kepunyaan peribadi. Dari laman web Unit Pendidikan Islam dan ICT, PPD Jasin secara terang-terang menceritakan tentang fadhilat berpuasa dan beramal di bulan Rejab ini seperti mempunyai keistimewaan yang luarbiasa. Antara yang didakwa di dalam artikelnya adalah puasa satu di bulan Rejab adalah seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat redhaan Allah serta syurga tertinggi. Begitu juga jika berpuasa dua hari ia mendapat krmuliaan Allah dan dilipat gandakan pahalanya. Berpuasa 3 hari pula, dijanjikan akan dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan parit panjang yang menghalangnya ke neraka. Kelebigan ini berterusan untuk hari-hari selebihnya di bulan ini. Kalau dibaca artikel seumpama ini, Paknil yakin ramai yang terpengaruh untuk memperbanyakkan amal ibadah terutama berpuasa di bulan Rejab. Kalau sejak kecil Paknil percaya pada kelebihan ini, kini pada usia mencecah 50 tahun, kepercayaan ini mula berdolak-dalih. Adakah apa yang Paknil percayakan selama ini rupanya hanya satu dakyah yang memesongkan? Kalau Paknil terkeliru, ini bermakna ramai juga umat Islam lain yang turut terkeliru sekian lama. Kenapa tiada pihak bertanggubgjawab mengenai soal akidah tampil untuk memberikan pendapat atau mengeluarkan fatwa agar kepercayaan ini dapat dihentikan dan diperbetulkan? Paknil lantas menghubungi kenalan bijak pandai agama termasuk Dr Juanda Jaya yang juga merupakan Mufti Perlis untuk menanyakan hal ini. Menurutnya, sebenar berpuasa di bulan Rejab ini tiada kelebihannya. Yang sahihnya, Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Tiada hadis atau nas yang memberitahu apa-apa kelebihannya. Jika ada dakwaan yang mengatakan ada kelebihan, maka semuanya adalah hadis palsu belaka. Tiada yang lebih daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Ada juga di antara blog yang secara yakin tetapi tidak menyatakan sumber hadis dan Al-Quran, memberi kenyataan kelebihan tiga bulan ini iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Katanya, bulan Rejab adalah bulan Allah, Sya'aban bulan Rasulullah. SAW, Ramadhan bulan umat Rasulullah SAW. Juga, Rejab adalah bulan menabur benih, Sya'aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai. Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya'aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh. Diteruskan, Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya'aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan. Rejab adalah bulan taubat, Sya'aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak. Wallahualam. Sebenarnya kepercayaan akan kelebihan bulan Rejab dan Syaaban bukanlah sesuatu yang baru. Paknil yakin ia merupakan sesuatu yang telah dianggap sebagai nilai Islam yang dipegang sejak lama dahulu. Kini di kalangan anak-anak muda juga ada yang percaya kepada amalan ini tanpa merujuk kepada mana-mana pihak ulama. Paknil ingin memetik beberapa bahagian daripada artikel yang ditulis oleh Professor Madya Dr Mohd Asri Zainul Bidin di laman web peribadinya, Minda Tajdid. Menurutnya, agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama. Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis. Menurut Dr Asri, perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut. Berbalik pada soal puasa Rejab, Dr Asri menghuraikan "Di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku." Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab. Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Setelah membaca pelbagai rujukan, kita yang bukan pakar agama tidak perlulah mengeluarkan kenyataan mengenai ibadah dan agama hanya bersandarkan konsep 'cut and paste'. Hasil kerja yang tidak bertauliah ini akhirnya boleh menyesatkan diri kita dan orang lain. Biarlah golongan ulama yang bertauliah mengeluarkan fatwa dan mendapat pengiktirafan. Dalam soal ini, Paknil hairan kenapa pihak JAKIM tidak bertindak cepat untuk memberikan kenyataan sahih mengenai puasa sunat bulan Rejab dan Syaaban ini kerana ia kini seolah telah menjadi trend pula untuk umat Islam negara ini berebut cara senang untuk mencari pahala secara pukal. Takut jika tidak dibendung, ia bakal menjadi amalan turun-temurun pula. Wassalam

18 January, 2010

MENJUNJUNG KASIH TUANKU!

Ampun Tuanku. Patek ingin merafak sembah untuk Menjunjung Kasih atas pengurniaan Bintang Kebesaran Johan Mahkota Wilayah yang merupakan Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah Pangkat Keempat kepada patek sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2 Februari yang lalu oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapakan jutaan terima kasih buat YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga YB Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Raffique atas pencalonan nama saya bagi kurniaan bintang itu.

Alhamdulillah rezeki pengiktirafan ini merupakan petanda bahawa kerja-kerja dan pencapaian Paknil turut dipantau oleh pihak kerajaan.Selama ini, Paknil fikirkan orang akan mengambil mudah akan kerjaya sebagai pengacara dan juga penggiat di bidang penyiaran ini.Tak pernah pula Paknil fikirkan bahawa kerja Paknil akan diiktiraf dan diangkat begini rupa sejak Paknil buat keputusan untuk bergiat secara aktif di dalam bidang penyiaran.

Memang Paknil agak keliru sendiri bila masa Paknil harus membuat keputusan 19 tahun yang lalu untuk memilih ke bidang ini.Yelah, Paknil kan berkelulusan ekonomi dan bila terjebak ke bidang penyiaran sedikit sebanyak rasa rugilah tidak mempraktikkan apa yang Paknil pelajari di UM suatu ketika dulu.

Rupanya rezeki Paknil memang di sini dan sekejapan Paknil jatuh cinta dengan bidang yang Paknil baru ceburi ini ketika itu.Atas rasa cinta pada tugas inilah Paknil tidak pernah rasa penat dan terlintas untuk mengubah haluan kerjaya.Sedari awal Paknil sudah merasakan inilah tempat Paknil dan Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kerjaya Paknil di bidang ni, tidak pernah sekali pun Paknil rasa menyesal.

Bermula sebagai wartawan siaran di TV3 Paknil terus mencari ilmu seolah bekerja sambil belajar di stesen tv swasta pertama Negara ini. Tak pernah kenal apa itu hujung minggu. Tak pernah tahu apa itu balik awal. Janji kerja kena selesaikan dan tak boleh sambung esok! Itulah resam Paknil bekerja. Paknil akan selesaikan kerja hari ini jugak. Menyimpan kerja sampai besok, maknanya membusut lah lagi tanggungjawab yang menanti. Suhaimi Sulaiman, Fuad Rahman, Zalina Azman, Wee Yu Li, Noraini, Khatijah Buyong, antara kawan sekerja yang banyak membimbing terutama di bilik berita TV3. Terima kasih semua.

Sekejap betul waktu berjalan. Dari Fifi (anak sulong Paknil) berusia 1 tahun, kini dah 19 tahun, begitu jugalah usia penglibatan Paknil dalam bidang penyiaran.Suka atau tidak, AZWAN Ali adalah rakan baik Paknil masa mula-mula Paknil melibatkan diri dalam bidang yang penuh glamor ini. Dia yang banyak memperkenalkan Paknil akan asam garam dunia hiburan suatu ketika dulu.

Yang hak tetap hak. Yang bathil tetap bathil.Apa yang berlaku pada hubungan baik ini biarlah ia menjadi rahsia kami. Paknil mahu terus bergerak ke depan tanpa mahu menoleh lagi. Paknil rasa Azwan pun macam tu jugak. Paknil tak perlu menjawab lagi soalan mengenai ini dan tidak akan terbakar juga jika direnjis minyak. InsyaALLAH.

Banyak pengalaman yang Paknil kutip di sepanjang jalan kerjaya Paknil. Dihina, dicerca, diketawakan, diperlekehkan dan diambil ringan tetapi tentunya diseimbangkan dengan yang manis. Diiktiraf, diangkat, dijulang, dipuji dan dihargai.Paknil berdoa agar pujian manis itu tidak akan menjadi racun yang bisa akhirnya. Biarlah kesudahan episod kerjaya Paknil disudahi dengan babak-babak yang indah sahaja. Itulah doa Paknil.

Menjelang November tahun ini pun Paknil dah memanjat ke usia 47 tahun. Banyak lagi yang Paknil nak sumbangkan pada tempat tumpah darah Paknil.Mungkin tak seberapa yang boleh Paknil lakukan tetapi Paknil tetap ingin memberi.Terbaru pada Disember tahun lalu, di majlis penganugerahan Anugerah TV Asia, Paknil telah tersenarai antara pengacara pilihan juri untuk memenangi Anugerah Pengacara Hiburan Terbaik Asia! Alhamdulillah dan bersyukur sangat atas pemberian Nya. Tak pernah terlintas rupanya boleh berdiri sama tinggi dengan yang lain di pentas Asia.

Terima kasih kepada ASTRO tempat Paknil bernaung kerana mencalonkan Paknil untuk kategori itu melalui rancangan Jangan Lupa Lirik. Sekali lagi jawapan Paknil (mungkin dianggap klise), Paknil masa buat rancangan itu hanya inginkan yang terbaik untuk penonton Paknil bukan untuk juri anugerah.Ini semua bonus dalam kerja Paknil.

Namun bagi Paknil, bonus paling utama ialah apabila kerja kita mendapat keberkatanNya. Mendapat perhatian ramai. Dan menerima sokongan tak berbelah bagi dari keluarga tersayang. Paknil tebalkan saja telinga pada komen-komen negatif di laman forum mencerca internet dari sesetengah pihak yang mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan Paknil apabila dianugerahkan darjah bintang kebesaran.

Kita ukur baju di badan sendiri. Dan kadang-kadang tukang ukurnya adalah orang lain. Orang lain itu pulak biarlah orang yang arif. Siapalah Paknil nak memperlekehkan kerja orang dan begitu juga harap jangan lah memperlekehkan kerja dan tanggungjawab Paknil. Bagi Paknil kata-kata negatif itu juga adalah vitamin yang Paknil telan untuk terus bertahan.Paknil telan saja kutukan pahit mereka sebab bila difikirkan balik, penawar racun pun pahit!

Namun Paknil cuma harap mereka yang mencerca Paknil janganlah sampai mengaibkan keluarga Paknil. Satu-satunya yang Paknil tidak akan gadaikan untuk kejayaan Paknil. Seperti mana yang Paknil pernah katakan sebelum ini, perasaan mereka Paknil dahulukan. Itu sahaja permintaan Paknil. Sebagaimana ada manisnya dalam perjalanan kerjaya Paknil begitu juga ada manisnya dalam kenangan kehidupan Paknil sebagai anak jati Kuala Lumpur.

Dilahirkan dan dibesarkan di No: 22. Lorong Keramat Dalam 3, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Raja Muda, Sekolah Menengah Jalan Temerloh dan di Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur. Juga mendapat pendidikan di Fakulti Ekonomi Universiti Malaya juga di Kuala Lumpur.

Dari jalan tanah merah di depan rumah Paknil suatu ketika dulu dan kini berjiran dengan Menara Berkembar Kuala Lumpur. Paknil akan terus tersenyum dan mengelamun mengenangkan kembali zaman kanak-kanak dan remaja Paknil sebagai warga kota asal. Izinkan Paknil menyebut antara nama-nama yang menghiasi zaman cerita sejarah kenangan Paknil – Uli, Noin, Ayot, Tinat, Bobok, Apek, Ani Gedek, Nani, Ros, Charlie, Cha’ar, Kodin, Didu, Bro, Mi Goreng, Puyu, Gedik, Toyol, Wak Bari, Lek Yem, Wak Jarmin, Makcik Melati, Kak Enon, Abang Rahim, Nenek Jara, Chin, Syawal, Ano dan ramai lagi!

Mereka juga adalah antara nama yang akan Paknil terus semat tanda dan bukti Paknil tak akan pernah lupa asal usul Paknil. Angkatlah setinggi mana sekali pun. Sanjunglah sehebat dunia mana sekali pun! Di lorong kecil dan di kampong tengah kota itulah sebenarnya si polan ini mula berasal.

Tidak akan mampu kemuncak populariti, kecanggihan teknologi, darjah kebesaran, anugerah kemenangan, pangkat dan darjat yang dapat menukar wa’ima melupuskan fakta sejarah bahawa Aznil Haji Nawawi a.k.a Anil a.k.a Konel adalah anak jati Kuala Lumpur! Wasalam.

06 January, 2010

ERA BARU PAKNIL

Tak pernah termimpi untuk Paknil jadi DJ atau dalam erti kata sekarang Penyampai Radio. Semuanya berlaku secara tak sengaja. Alih-alih kini Paknil mengendalikan slot pagi hari di radio ERA melalui slot Riuh Pagi Era bersama Din Beramboi.

Sebelum Paknil teruskan bercerita mengenai kerja yang baru Paknil ceburi ni, biar Paknil ceritakan sedikit betapa peranan radio banyak mempengaruhi kehidupan Paknil dari dulu sehingga kini.

Zaman Paknil remaja dulu, radiolah teman setia kitorang yang remaja masa tu. Nama-nama seperti Zainal Abas, Tengku Mariam, Noramin, Nornikman, Zainal Din, Chuari Selamat, Angrahi Selamat, Noraini Ibnu, Wan Noraini, Pakcik Jamal dan ramai lagi menjadi idola kami.

Masa tu, radio ada macam-macam rancangan yang diterbitkan dalam sehari. Diorang tak main lagu aje macam sekarang. Radio bertindak lebih hebat dari tv!

Kalau di awal pagi rancangan ‘Mutiara Iman’ memang menjadi permulaan hari yang baik. Di samping ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan, terdapat juga mutiara kata dan tazkirah yang membimbing pendengar.

Dalam pukul 10 pagi, rancangan kanak-kanak seperti’ Taman Kanak-Kanak’ (bersama Pakcik Jamal) dan ‘Apa Itu’ (kelolaan Kak Yong dan Busu Noramin). Memang rancangan seperti inilah yang mengajar Paknil akan cara bercakap dengan kanak-kanak seperti yang anda semua dapat saksikan dalam Tom Tom Bak.

Pakcik Jamal dan Kak Yong begitu bijak melentur suara sehingga menjadi mesra pendengar cilik. Pernah paknil menghantarkan pendapat kepada rancangan ‘Apa Itu’ dan dibacakan oleh Kak Yong dan Busu Noramin! Satu hari suntuk Paknil tersenyum saja hari tu. Bangga sesangat!

Dalam pukul 11 pagi setiap hari pasti Paknil akan terleka dengan drama radio ‘Nombor Lima Persiaran Satu’. Siapa yang membesar di zaman Paknil yang tak kenal dengan rancangan popular ini. Ia merupakan drama radio yang sangat hebat mengenai kehidupan seharian sebuah keluarga melayu. Walaupun ia hanya sebuah drama radio, tetapi kami pendengar merasakan seolah-olah keluarga itu benar-benar wujud!

Menjelang waktu makan tengahari sehingga petang, Paknil akan turut terleka dengan drama radio yang hebat-hebat belaka. Sama seperti telenovela di tv, tetapi hanya berbekalkan audio dan kesan bunyi, drama ini boleh membuat pendengarnya menangis. Termasuk Paknil!

Adibah Amin adalah pelakon drama radio yang paling Paknil gemari disamping Fauziah Nawi. Lakonan yang mantap disamping kesan bunyi dan muzik latar yang tepat, ramai yang terpaku di tepi speaker radio.

Paknil teringin sangat nak terbitkan drama radio untuk dijadikan juadah telinga pendengar masa kini terutama generasi baru yang tidak mengenali drama seperti ini. Kita banyak bermain dengan imaginasi terutama dari lakaran wajah dan situasi sebab ia tiada visual yang membantu. Di sinilah letaknya kehebatan dan keunikan drama radio.

‘Fajar Di Bumi Permata’ adalah antara drama radio bersiri yang sangat popular. Ia berkisar kehidupan peneroka-peneroka Felda. Tak silap jika dikatakan ia lebih berupa medium propaganda kerajaan pada masa itu yang agak berkesan.

Berita radio jangan ceritalah. Hampir setiap awal jam akan kedengaran bunyi detik jam tanda berita radio yang hanya berdurasi selama 5 minit ke udara. Ayah Paknil orang yang akan menguatkan bunyi suara radio pada ketika ini.

Di waktu malam, remaja-remaja akan memberi tumpuan pula kepada Radio FM satu-satunya radio yang menggunakan gelombang FM yang hanya memulakan siaran pada pukul 9 malam sehingga pukul 12 malam. ‘Pilihan Bersama’ adalah rancangan kesukaan ramai yang memainkan lagu permintaan pendengar secara pukal! Pendengar diberikan pilihan untuk memilih 5 hingga 6 lagu secara berterusan tanpa gangguan DJ! Hebatkan kan?

Itulah radio di zaman Paknil membesar. Paknil belajar berlakon di situ. Belajar menyanyi di situ. Belajar bertutur dengan baik pun di situ. Lengkap pakej yang ditawarkan.

Kini masa sudah meninggalkan era radio seperti itu jauh sekali. Kini radio lebih mempertaruhkan hanya lagu dan penyampai-penyampainya untuk menarik minat pendengar.

Hilang sudah rancangan kanak-kanak, drama radio, berita radio dan rancangan untuk suri rumahtangga.Zaman dah berubah. Radio dijadikan sebagai teman ringan di rumah, pejabat dan di dalam kereta.

Sebenarnya Paknil telah ditawarkan menjadi penyampai radio Era sejak zaman Seelan Paul di Era lagi. Seelan menawarkan Paknil slot pagi di Era tapi pada masa itu Paknil tak yakin dan lebih memberi tumpuan kepada pengacaraan tv.

Walaupun Paknil sebelum itu pernah menjadi DJ di radio swasta Rfm (terima kasih KC Ismail kerana percaya pada Paknil) suatu ketika dahulu, tetapi cinta pada penyiaran radio belum berkembang sepenuhnya.

Masa itu, DJ boleh memutarkan lagu-lagu kegemaran sendiri kerana berbekalkan CD koleksi kami. Paknil kira expert jugaklah menangani panel konti ketika itu sendirian.

Mulai tahun 2006 Paknil berjinak-jinak dengan Carta Era bersama Nana. Walaupun ia rakaman tetapi Paknil bertindak sebagai penyampai. Cara penyampaiannya pun sudah berubah berbanding dahulu.

Kini ia lebih bersahaja dan spontan. Bebas memecahkan keadaan dengan lawak spontan. Ada sahaja yang kami bualkan selama tiga jam!

Dari situ, Paknil ditawarkan lagi untuk menyertai Era secara lebih serius untuk bersama krew pagi apabila Khairil dan Kieran berpisah. Oleh kerana jadual kerja tv Paknil yang menuntut Paknil bekerja sehingga lewat malam, Paknil terpaksa tolak tawaran Era sekali lagi. Paknil cuma bersedia untuk bersama Era bermula pukul 10 pagi sahaja.

Di slot itulah Paknil banyak belajar mengenai RADIO.Walaupun kami tidak memutarkan lagu kerana semua lagu sudah diatur di dalam komputer, tetapi Paknil diberi peluang lebih dari memutarkan lagu. Paknil diberi peluang untuk mendekatkan diri dengan orang ramai.

Tanpa Paknil sangka, Paknil sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan pendengar Era. Bukan sekadar menjadi penyampai tetapi sebagai teman mereka.

Mereka dirasakan begitu dekat dengan Paknil. Ada yang hampir setiap hari menelefon dan menjadi pemanggil tetap slot Paknil bekerja. Ada yang berkongsi kesedihan, ada yang berkongsi kegembiraan dan yang paling istimewa apabila ada yang berkongsi kasih sayang!

Itu lah magisnya dunia penyiaran radio rupanya. Bila Paknil bercuti, perasaan rindu pada kerja dan pendengar Era membuak-buak sehingga teruja dan tidak sabar untuk kembali bertugas. Begitu juga rupanya dengan pendengar setia Paknil yang ingin cepat Paknil kembali bertugas.

Lebih hebat, bila ada yang menghantarkan pelbagai hadiah dan makanan ke studio Era. Ada yang tidak lupa harijadi Paknil. Ada yang hantar jajan seperti coklat, keropok, gula-gula dan sebagainya.

Yang lebih hebat ada pendengar Era dari Seremban yang datang sendiri ke ASTRO untuk memberikan kek dan kuih muih buatan mereka! Lebih dari itu, ada yang menghantar kuih talam, nasi kerabu, kek cawan dan selimut buatan sendiri!

Namun begitu itu, itu soal material yang Paknil cukup hargai. Yang lebih utama mengatasi segalanya ialah apabila Paknil dapat berkongsi kasih sayang Paknil pada mereka.

Ada ibu tua yang sering menelefon menanya khabar dan berkongsi cerita sedih. Ada pesakit kanser yang merayu kesakitan sehingga menemui ajal tetapi masih mahu mendengar suara ini. Kami bersama pendengar lain menangis dan meratap pemergiannya dan ini belum pernah Paknil lalui ketika beraksi di kaca tv.

Apa lagi doa-doa yang mereka kirimkan demi kesihatan, keselamatan dan kebahagiaan Paknil. Paknil betul-betul rasa dihargai.

Pelbagai cerita suka duka yang Paknil abadikan dan semua ini diluar jangkaan Paknil sehingga menerbitkan rasa cinta yang teramat pada bidang ini.

Siapa sangka setelah menolak dua kali tawaran mengendalikan slot pagi di Era, kini Paknil beraksi bersama Din Beramboi meriuhkan pagi pendengar Era!

Paknil tak boleh menolak lagi. Paknil dambakan cabaran dan khalayak yang lebih besar lagi dalam kerja Paknil. Entahlah…masih terlalu awal untuk Paknil nilai prestasi kerja Paknil dan minat pendengar.

Namun kerja ini dah jadi rutin harian baru buat Paknil. Tidor seawal 9 malam dan bangun seawall 4 pagi! Perkara yang belum pernah Paknil lakukan secara harian sebelum ini tetapi kini Paknil tempuhi.

Pengorbanan ini bukan untuk sesiapa selain untuk kepuasan diri Paknil dan pendengar Era. Agak mencabar juga waktu di studio. Banyak yang harus ditangani dan masa 4 jam (6 hingga 10pagi) dirasakan begitu cepat berjalan.

Kami terus menggeletek pendengar kami sehingga pada suatu ketika Paknil dikejutkan dengan satu SMS yang menyayat hati. Kisah kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang ibu dan anaknya apabila kereta yang dipandunya berlanggar, meletup dan terbakar! Kisah ini diceritakan sendiri oleh pendengar Era yang kebetulan mengenali keluarga mangsa.

Kami tidak boleh ketawa lagi ketika itu. Rupanya dalam sibuk kami menceriakan pagi pendengar, ada insan yang menangisi pagi harinya.

Nada kami jadi perlahan terutama apabila kami menghubungi Encik Kamarulzaman suami dan ayah kepada mangsa. Ketika itu kami tahu, berjuta pendengar terpaku mendengar cerita sedih ini.

Bukan menangguk pada kesedihan, kami benar-benar terpanggil untuk menghulurkan bahu kami untuk menangis bersama dan menyuntik kata semangat kepada keluarga malang itu.

Ketika itu, Paknil dapat lihat dimensi baru lagi penyiaran radio bila talian telefon tidak henti berdering untuk menghulur kata semangat dan rasa simpati. Besarnya pengaruh radio. Dalam sekelip mata, perhatian sudah diberikan.

Keluarga besar Era tidak berhenti di situ. Selesai bekerja kami terus murung tetapi tetap memikirkan apa yang boleh kami lakukan untuk keluarga ini.

Mungkin sumbangan yang kecil tidak dapat mengembalikan sinar keluarga ini, tetapi kami berazam untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka selagi mampu.

Lembaran baru dalam diari hidup Paknil sudah bermula dan Paknil tidak akan menoleh kebelakang lagi. Paknil akan terus pegang tanggungjawab besar dalam masyarakat sebab baru kini Paknil sedar ada tanggungjawb berat dalam kerja yang mungkin dianggap mudah oleh sesetengah golongan.

Kerja yang ada menyangka untuk mengejar glamor dan nama. Kerja yang sering dikritik ramai dan dibandingkan.Rupanya itu bukan cabaran sebenar bidang ini. Ada yang lebih besar menanti rupanya!

Itulah sebenarnya ERA baru dalam hidup Paknil.

Wassalam.

14 December, 2009

AF DATANG LAGI!!!

Sana sini orang sibuk memperkatakan pasal program pencarian bakat realiti terpopular Akademi Fantasia yang sekarang sedang sibuk mencari peserta baru melalui sesi ujibakat di seluruh negara. Diam tak diam dah masuk ke musim yang ke tujuh sekarang ni.

Mungkin ini satu platform untuk bakat-bakat baru ingin memperkenalkan diri ke bidang hiburan dan sekaligus menjadi terkenal. Walaupun ramai yang kata sudah terlalu ramai bintang yang dilahirkan sejak AF diperkenalkan hampir 7 tahun dulu dan ada yang menyarankan agar AF ini patut direhatkan seketika.

Entahlah. Bukan hendak memuji tetapi saya percaya ramai yang setuju AF masih lagi menjadi rancangan realiti yang dinantikan biar siapa pun pengetua dan pengacaranya. Paknil bercakap ni pun sambil membandingkannya dengan rancangan realiti yang lain.

AF ada demam walaupun ada yang kata ia tak sehebat AF yang dulu-dulu tetapi AF masih lagi menjadi perhatian. Tengok sahaja jumlah peserta yang menghadiri sesi ujibakat. Tak terkira ramainya.

Paknil nak imbas kembali penglibatan Paknil dalam AF sejak ia mula diperkenalkan dulu. Sebenarnya ia datang secara mengejut setelah Paknil hampir-hampir dilupakan dalam bidang pengacaraan. Yelah, setelah ekonomi gawat (1997-2001), banyak rancangan hiburan tv yang ditutup. Ramai pengacara yang tak ada kerja dan ramai jugak yang mencari kerja lain. Paknil cuma mengacarakan rancangan yang kecil-kecil saja dan ada yang tak merasa kehadiran Paknil sebagai pengacara ketika itu.

Bila ekonomi berdeket-deket pulih, makin muncul rancangan hiburan besar dilahirkan. Astro Ria yang merupakan satu-satunya saluran melayu di ASTRO ketika itu mengorak langkah menerbitkan AF. Paknil dengar adalah beberapa nama besar lain yang dicanang untuk dijadikan pengacara rancangan terbaru terbitan mereka, Akademi Fantasia. Konsep yang diambil dari rancangan dari Mexico, LACADEMIA.

Sebulan sebelum ia diterbitkan, Paknil dipanggil oleh pihak ASTRO untuk menanyakan samada Paknil berminat untuk menjadi hos rancangan ini. Eh, Paknil pelik juga masa tu. Lagi empat minggu nak diterbitkan, belum ada lagi ke pengacaranya? Memandangkan yang Paknil juga masa itu tak ada tawaran, Paknil tak tunggu lama untuk mengatakan SETUJU!

Setelah Paknil kaji konsep rancangan itu, Paknil terfikir juga untuk mewarnakan rancangan itu mengikut gaya dan citarasa tempatan. Yelah, kalau ikut stail Mexico mungkin tak sesuai dengan budaya kita, kan? Paknil tahu yang orang kita kuat dengan semangat kekeluargaan. Paknil tahu orang kita juga amat meminati cerita Hindustan. Paknil tahu jugak yang orang kita minat hiburan yang mempunyai unsur lawak.

Maka itulah sebabnya Paknil bawa rancangan itu seperti yang anda semua telah saksikan sejak AF1 lagi. Walaupun pada awalnya ramai yang merasa asing pada konsep pertandingan nyanyian menggunakan kuasa penonton seratus peratus dan ada pengkritik, tetapi makin minggu rancangan ini mula diperkatakan.

Dimana sahaja orang akan bercakap mengenai AF. Kiranya, siapa yang tak berborak pasal AF ketika itu dianggap ketinggalan lah. Semua jadi demam dan menatap kaca tv setiap hari untuk mengikuti Diari AF yang dirakam melalui kamera yang tersembunyi. Mereka jadi seronok mengikuti perangai anak-anak muda yang tidak menghiraukan kamera dibalik dinding dan mempamirkan pelbagai perangai!

Ada yang mula mengutuk Nana kerana cengeng dan gedik. Ada yang suka mengikuti cerita cinta mahu berputik Rosma dan Khai. Ada yang geram Atie masih bertahan.Ada yang suka dengan perangai lucu Vince dan Nija. Ada yang kasihan dengan rasa rendah diri Azizi dan Sahri. Ada yang tak percaya Burn dan Vince boleh sesuaikan diri dengan orang Melayu di bawah satu bumbung.

Paknil sendiri kena berkhemah di luar Akademi bersama pihak penerbitan yang lain mengamati perangai dan gelagat mereka secara harian. Paknil rasa begitu dekat dengan mereka dan memahami perangai setiap dari mereka walaupun tidak masuk ke dalam Akademi. Paknil Cuma bertemu dengan mereka ketika konsert sahaja. Ketika itu, Paknil begitu rapat dengan mereka dan mula rasa simpati, saying dan menghargai mereka.

Makin minggu makin teguh ikatan sesama mereka dan begitu juga di antara Paknil dengan mereka. Itulah sebabnya amat sukar untuk mereka dipisahkan bila tiba saat penyingkiran. Adegan Atie peluk kaki Adi ketika penyingkiran adalah yang paling klasik! Yang penting ramai yang memberikan reaksi yang pelbagai. Gelihati pun ada jugak bila kenang balik tapi ketika ia berlaku, ia adalah secara jujur. Tak ada skrip atau perancangan mengenainya.

Yang lebih trajis adalah ketika Rosma tersingkir. Jantung Paknil macam nak terberhenti bila namanya muncul pada beg yang bakal diusung keluar. Macam mana Paknil nak umumkan pun tak tahu sebab Paknil sendiri terperanjat dengan keadaan ketika itu.Rosma adalah antara pelajar yang dijangka akan beraksi diperingkat akhir tapi KEZZZUTAN ini benar-benar mendapat perhatian nasional!

Tak pasal-pasal insiden ini menjadi bualan dan amarah satu negara ketika itu dan keesokannya. Ramai penonton yang tidak puashati dengan keputusan yang mereka sendiri buat. Ada yang kata ASTRO pasang konspirasi lah. Ada yang kata Paknil salah baca lah. Ada yang kata tak patut rancangan ini diterbitkan lagilah. Ada yang kata tak mahu tengok AF lagi lah. Macam-macam reaksi. Yang pasti AF terus menjadi juadah tontonan setiap malam minggu.

Seluruh negara bagai kena perintah berkurung! Tak banyak keretadi jalanraya. Kenduri kahwin mesti tidak mendapat sambutan pada masa konsert AF sedang bersiaran. Seisi keluarga mula berkumpul di hadapan tv. Yang ayah kalau sebelum ini asyik ada hal diluar, kini dah mula jinak di rumah. Si anak awal-awal dah mula buat perancangan untuk keluar malam minggu agak lewat dari biasa. Si ibu akan sibuk menyediakan lauk pauk untuk makan malam bersama keluarga sambil menonton AF!

Begitulah antara kuatnya impak AF pada rata-rata keluarga Malaysia. Yang pasti ia juga turut memberikan impak yang besar dalam karier Paknil. Paknil mula diberi perhatian oleh penonton-penonton Malaysia. Paknil mula dipandang oleh stesen-stesen tv yang lain dan yang penting Paknil juga mula mendapat pengiktirafan besar dari majlis-majlis anugerah selepas itu. Alhamdulillah. Begitulah besarnya jasa AF dalam kerjaya Paknil yang paknil tidak akan lupakan sampai bila-bila.

Bila dah begitu sinonim Paknil dengan AF, jadi kenapa pula Paknil melepaskan tugasan menjadi pengacara AF setelah selesai AF5? Sebenarnya bukan senang Paknil nak umumkan pengunduran Paknil dari AF. Tapi Paknil kena lakukan untuk kepentingan banyak pihak. Pertama sekali Paknil pentingkan suara-suara negatif yang mula mengkiritik persembahan Paknil pada AF yang dikatakan hampir sama setiap tahun. Paknil akur dengan kata-kata orang yang menonton rancangan itu. Kalau tidak nanti orang kata Paknil syok sendiri pulak.

Mereka yang menonton dan jadi mereka lebih tahu apa yang mereka mahu tonton di kaca tv. Jadi Paknil rasa persembahan Paknil dah tak relevan lagi ketika itu. Itulah sebabnya Paknil membuka ruang untuk pengacara lain untuk mewarnakan AF. Mana lah tahu dengan pengacara baru, rancangan ini akan dapat nyawa baru. Jadi di sini, Paknil ketepikan kepentingan peribadi Paknil.

Sebab lain, Paknil kena juga jaga perasaan anak-anak dan famili Paknil. Bila teknologi bertambah canggih dengan kehadiran forum mencerca di internet dan kelantangan kritikan di saluran @15, pelbagai kutukan yang melukai hati anak-anak dan famili Paknil yang berlaku ketika itu. Paknil boleh terima kritikan orang tapi bagaimana dengan perasaan keluarga Paknil? Kasihan mereka yang tak semena-mena turut terpalit. Apabila Paknil lihat kutukan itu seperti tidak mahu berhenti atau berkurangan, Paknil rasa ini adalah masa yang sesuai untuk berhenti.

Paknil juga utamakan kepentingan rating rancangan ini kerana ia amat penting buat stesen tempat Paknil bekerja. Rating menentukan daya tahan sesebuah rancangan.Paknil tidak mahu bila orang mula muak dengan cara Paknil mengendalikan AF, rating Af akan jatuh dan ini bukan berita baik buat ASTRO yang telah melabur berjuta ringgit! Kiranya, tindakan Paknil adalah untuk terus mengekalkan AF sebagai rancangan nombor 1.

Jadi jelas, Paknil letakkan kepentingan peribadi Paknil sebagai sebab yang terakhir untuk Paknil mengundurkan diri dari AF. Walaupun masih tebal kasih sayang pada rancangan ini, namun Paknil tak boleh pentingkan diri sendiri dan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan yang Paknil katakan tadi. Paknil kena peka pada signal-signal yang diberikan agar Paknil cepat berundur.

Kini Paknil jadi permerhati setia rancangan yang dah nak masuk ke tahun yang ke tujuh ini. Bagi Paknil AF masih bertaring. AC Mizal dan Sarimah tidak gagal menangani rancangan ini. Mereka seharusnya patut diberi pujian kerana rancangan ini masih mendapat rating tertinggi di kalangan rancangan-rancangan yang di tayangkan di Astro. Seharusnya juga mereka terus diberi peluang untuk mewarnakan rancangan ini dan spekulasi Paknil mengambil alih semula AF sepatutnya tidak berlaku. Tidak ada perbincangan atau perancangan agar Paknil kembali pada AF.

Kini AF bakal muncul lagi. Paknil doakan ia bakal meneruskan kegemilangan AF seperti yang sebelum ini dan dapat melahirkan penghibur nombor satu negara seperti mana kita saksikan kelahiran nama besar seperti Mawi. Tidak dinafikan, bintang-bintang AF memang kuat kedudukannya dalam persada seni. Kalau tidak, mana mungkin pertandingan besar muzik dan majlis anugerah tanahair dihiasi serta diungguli bintang-bintang yang muncul dari Akademi Fantasia! Tahniah semua.

Wassalam

02 December, 2009

KELUARGA BESAR KITA

Alahai…siapa lah saya nak tegur geng-geng artis yang lain terutama pada artis-artis yang baru. Saya pun sama-sama cari makan dalam bidang seni yang semakin hari semakin sempit mungkin kerana ekonomi yang semakin mendung ni.

Namun hidup masih perlu diteruskan. Industri kita kecil sahaja jadi tak salah tegur-menegur. Kalau saya silap, tegurlah. InsyaAllah saya terima kalau ia konstruktif!

Eh, kemana saya nak bawa cerita saya ni? Macam jauh pulak pusing-pusingnya. Sebenarnya, tulisan ini adalah cetusan daripada berita gossip di HIP, sisipan hiburan Berita Harian 2 Januari di ruangan Dengarnya…oleh Norma Becok.

Di petik, “Kisahnya mengenai seorang penyanyi baru berbakat disembur penyanyi senior kerana tak reti jaga mulut.” Dilaporkan artis baru ni tidak puashati apabila artis senior ini mendapat layanan kelas pertama berbanding artis-artis lain yang hadir ketika itu.

Ambillah cerita ini sebagai teladan ya. Bukan apa, anggaplah industri ini sebagai hidup dalam satu keluarga, Yang tua dihormati dan yang muda disayangi. Barulah rukun hidup sekeluarga.

Kalau adik yang jauh lebih muda nak menempelak abang atau akak semata-mata kerana tak puashati, kenalah ada caranya. Namun, suara orang lebih muda jangan kita tidakkan terus.

Kita kena dengar juga dan yang muda pun janganlah langgar batasnya. Jangan nanti kita lupa adab sehingga jadi biadab pula!

Saya juga bermula dengan bergelar ‘artis baru’ 19 tahun yang lalu. Saya pun mempunyai darah muda yang suka memberontak juga tapi tak pernah lah pulak hilang rasa hormat pada artis-artis yang senior.

Saya juga hormat dengan Pak Aziz Satar, Ibu Yusni Jaafar (Allahyarham), Kak Pah (Datuk Sharifah Aini), Kak Yan (Azean Irdawaty), dan ramai lagi. Bila berjumpa atau terserempak tak pernah pulak saya melengahkan masa untuk bersalaman dengan mereka. Tetapi saya sendiri sedih melihat telatah artis-artis muda sekarang yang mungkin tidak sengaja melanggar sahaja batang hidung dan bahu artis-artis senior ni.

Bukanlah minta dihormati tetapi memadailah bertegur sapa. Kan kita anak-beranak, adik beradik. Bila susah, sama-sama dan begitu jugak bila senang.Cuba kita mulakan satu resolusi baru dalam diri kita untuk mendekatkan lagi diri kita dengan persekitaran kita.

Jangan lah jadi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tak salah kita menyapa artis senior sebab memang menjadi tanggungjawab kita mengenali mereka. Yelah, mereka sudah lama dalam bidang seni, tak kan lah yang baru ni tak kenal.

Lainlah artis senior ni, mungkin mereka dah tak terkejar perkembangan dunia seni lebih-lebih lagi waktu kini dimana penyanyi, pelakon, pelawak dan pengacaranya muncul macam cendawan.

Kadang-kadang saya jadi sedih bila melihat ada di antara artis baru seperti dari band indi, artis program realiti, pelakon-pelakon muda yang duduk berkumpul sesama mereka, ketawa mengilai-ngilai tanpa menghormati artis veteran dan senior yang turut hadir.

Lebih sedih bila mereka seronok bercerita sehingga terlupa menghulurkan kerusi yang mereka duduk itu kepada artis veteran ini yang berdiri terkebil-kebil berdekatan mereka.

Nak dijadikan keadaan lebih teruk bila kata-kata dan bahasa bual serta gurau artis muda ini yang agak keras dan kurang manis diucapkan secara kuat sehingga artis lama ini tersipu-sipu dan menggeleng kepala mendengarnya.

Ada juga yang tidak pandai menukar lenggok bahasa bila bercakap dengan artis lama ni. Mereka langgar sahaja susila berbual dengan menegur artis senior ini dengan nama, macam kawan-kawan seusia dengan mereka! Janganlah macam tu dik.

Tak rugi kita beri hormat pada mereka dengan pangkal gelaran Abang atau Kakak atau Pak atau Mak atau Uncle atau Auntie. Ini dapat menjadikan hubungan lebih akrab dan terasa ikatan tu lebih kuat. Bayangkan jika kita beradab seperti itu dan pada ketika sesebuah majlis, diperhatikan oleh orang luar seperti artis dari Indonesia, golongan korporat dan peminat-peminat. Mungkin mereka kagum dengan ikatan kita.

Berbalik pada cerita artis muda yang digossipkan oleh Normah Becok tadi, harap dapat ambil iktibar ok. Pihak media pun pandang perkara ini sebagai perkara yang sepatutnya dielakkan.

Layanan istimewa kepada artis lama ni kadang-kadang bukan diminta pun tetapi pihak penganjur yang beriya menatang mereka kerana bagi mereka mungkin artis ini begitu istimewa atau sebagai tanda hormat. Seharusnya kita kena turut rasa bangga bila ada golongan luar yang memandang tinggi kepada golongan artis.

Seharusnya juga golongan artis muda ini jadikan perkara ini sebagai satu suntikan semangat kepada dirinya agar satu hari nanti turut ditatang sebegitu rupa. Janganlah anggap kejayaan pertama sebagaii artis sudah melayakkan diri ditatang bagai minyak.

Kita sama-samalah cermin pencapaian kita. Saya sendiri sebagai artis senior, kadang-kadang dan ada ketikanya tidak dilayan sehebat artis yang jauh lebih junior dari saya seperti Datuk Siti dan Mawi.

Kalau saya tidak cerminkan diri saya mungkin saya juga akan melenting apabila saya tidak dilayan seperti mereka tapi kita kena kenal diri kita. Kita kena tahu kedudukan kita. Kita kena pandang diri kita.

Perkara yang sama juga pernah saya lalui ketika saya membuat persembahan di Sabah pertengahan tahun lalu. Saya dijemput untuk membuat persembahan bukan bersama-sama artis yang lain. Undangan persembahan saya adalah secara berasingan daripada artis-artis yang lain.

Ketika itu ada beberapa artis baru yang turut diundang seperti Aizat AF5, Nubhan AF6, Izwan Pilus, Farah Waheedah dan ramai lagi.Pihak pengurusan saya telah memaklumkan bayaran, kemudahan hotel, pengangkutan dan makan bagi pihak saya terlebih awal.

Hasil daripada persetujuan awal, sememangnya penganjur telah bersetuju untuk menyediakannya. Setiba di sana tentunya saya diberikan layanan seperti yang dipersetujui. Lagipun pihak penganjur juga memang bersedia untuk memberikan layanan VIP kepada saya. Alhamdulillah…inilah rezeki namanya.

Dalam pada itu, tidak terlintas pula di kepala saya bila layanan ini rupanya tidak disenangi oleh beberapa artis yang lain. Mereka yang tidak tahu persetujuan awal antara saya dan penganjur ini, mula mempersoalkan layanan yang diberikan kepada saya.

Jika saya tidak terdengar rungutan mereka mungkin tidak menjadi masalah kepada saya. Malangnya, nak dijadikan cerita bila seorang artis baru ni dengan lantang menegur saya di depan ramai orang lain. “Oh…inilah artis yang dilayan macam Menteri tu!”

Entahlah…nak ketawa tapi tak kelakar. Nak telan tapi pahit kata-katanya tu. Buat ketika itu saya cuma tersenyum pahit namun ada juga rasa kesal dengan sikap artis baru ni. Tak sangka lidahnya dan ucapannya bertindak lebih laju dari akalnya. Memandangkan dia masih budak dan orang baru, saya lupakan saja cerita ini. Namun, artis itu masih perlu diberitahu kesilapannya agar pandai menyesuaikan gurauan, teguran dan percakapan mengikut hiraki umur dan senioriti.

Masa saya baru berkecimpung dalam bidang glamour ini dulu, saya ada jugak diberitahu oleh Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) tentang pengalamannya apabila ada artis baru yang naik angin apabila Kak Pah dilayan seperti VIP.

Biarlah nama artis baru itu saya sendiri yang tahu. Akhirnya kini, artis itu terus hilang entah kemana. Alih-alih, rupanya cerita yang hampir sama berlaku pula pada diri saya. Tak apalah, sekurang-kurangnya saya lebih bersedia apabila pengalaman Kak Pah mengajar saya.

Saya selalu berpesan pada diri saya bahawa langit tidak selalu cerah, rumput tidak selalu hijau. Hidup umpama roda. Putaran roda kehidupan pasti berlaku. Panas yang disangka berpanjangan mungkin tidak akan sampai ke petang. Jadi siap sediakanlah payung sebelum hujan turun di tengahari!

Wassalam.

29 November, 2009

SEBELAS JANUARI (di sini ia bermula)

SEBELAS JANUARI

ASSALAMUALAIKUM semua! 11 Januari merupakan hari pertama saya mula menulis pula dalam ruangan ini menggantikan Mawi yang sebelum ini diberi peluang bersama dengan pembaca setia Metro Ahad. Dalam kesibukkan waktu saya bekejar untuk rakaman rancangan tv, bangun awal pagi untuk ke konti radio ERA dan memenuhi undangan berceramah di sekolah-sekolah, saya selitkan juga coretan ini.

Mulai minggu ini saya akan berkongsi pendapat, pengalaman dan cerita yang saya lalui untuk pembaca semua agar anda semua dapat mengenali saya dengan lebih dekat lagi. Walaupun saya dah berkecimpung dalam bidang ini lebih 18 tahun namun ada yang mengenali saya hanya sebagai Aznil Hj Nawawi di kaca tv sahaja.

Tak sama sebenarnya apa yang anda tontonb dengan saya yang sebenar. Saya ni Nampak di kaca tv memang gila-gila dan suka bergurau tetapi anda Cuma Nampak 50 peratus sahaja daripada personality saya.

Yelah, tak kan lah saya nak tunjukkan sisi saya yang serius, sensitif, pemarah, cengeng, tension dalam rancangan-rancangan hiburan yang memerlukan saya berperwatakan ceria kan? Jadi, saya nak ambil peluang ini untuk memperkenalkan sisi saya yang sebenar melalui penulisan.

Saya sama juga seperti orang lain yang kadang-kadang terbawa-bawa masalah peribadi dalam perwatakan saya seharian. Kalau ada masalah, saya ni tak suka simpan lama-lama. Saya lebih gemar menyelesaikannya dengan segera. Yelah, saya tak mahu masalah itu menganggu tidur malam saya. Tidur malam memang amat penting buat saya. Jadi kalau dah terganggu, mood saya akan juga terganggu opada keesokan harinya. Lebih teruk jika ada rakaman. Susah nak dapat idea spontan bila otak tersekat. Itu sebab orang tengok saya ni happy aje sedangkan mereka tak tahu yang saya ni tak suka simpan masalah. Bagi saya, kalau gatal saya akan garu masa tu juga. Takkan nak tahan pulak kan?

Peminat-peminat pun bukannya kisah kalau saya ada masalah peribadi kan? Bila mereka jumpa saya tak kan nak tanya samada saya mempunyai masalah peribadi ketika mereka ingin bergambar dengan saya! Bila Nampak saya, tentu ada yang ingin berfoto. Saya pun tak kan nak bagi tahu dengan mereka yang saya takde mood nak bergambar sebab ada masalah peribadi. Senyum tetap senyum! Tandatangan otogrtaf tetap kena jugak. Sebagai manusia yang lemah, kadang-kadang ada jugak senyum kelat saya terpancar sehingga ada peminat yang perasan. Minta maaflah kalau macam tu. Tidak ada niat langsung dihati saya untuk kecilkan hati peminat saya sehingga ada yang tanya “Paknil marah ke?”. Tak marahlah tapi faham-fahamlah, saya macam anda jugak ada ketikanya tak dapat sorokkan gangguan emosi. Katanya!

Ada juga peminat yang tanya kenapa Paknil diluar tak sama dengan yang di dalam rancangan tontonan mereka. Diorang sebenarnya menunggu aje lontaran lawak dari mulut saya tapi hampa. Alahai, tak kanlah saya nak buat lawak 24 jam kot. Sebenarnya saya ni suka buat lawak untuk persembahan pentas dan depan orang yang mengenali saya secara peribadi sahaja. Bukanlah saya ni jual mahal tapi agak-agak lah jugak dengan tempat untuk bergurau kan. Bila jadi macam ni, dah mula pula keluar cerita yang Azni; sebenarnya sombong. Kalau macam ni susah lah saya. Lebih sukar bila saya ada bersama anak-anak atau family. Saya tentunya tak boleh nak luangkan masa lebih lama dengan mereka yang ingin berborak dengan saya. Tapi saya memang suka sangat orang menyapa saya! Serius! Datanglah pada saya untuk berjabat tangan atau bertukar senyuman.Saya seronok sangat disapa tapi sapa lah dengan baik. Jangan lah pulak terjerit-jerit Hoi! Hoi! Kalau macam tu, bukan saya aje, anda sendiri pun mungkin hot kan? Namun kadang-kadang saya termalu juga sendiri bila ada juga orang ramai yang mulanya memandang seperti mengenali saya. Bila saya senyum, mereka memalingkan muka ketempat lain atau tidak membalas senyuman.

Apa pula yang membuat Aznil marah? Sebenarnya, saya cukup tak gemar dengan golongan yang kurang ajar. Baik orang dewasa, remaja atau kanak-kanak. Ada jugak golongan dewasa yang mungkin ingin bergurau dengan saya tetapi pemilihan cara yang yang agak kurang sopan.Lebih sedih kalau ia dilakukan dihadapan kanak-kanak. Tak elok sangat jika kita dijadikan contoh dengan gaya bahasa dan aksi yang tak sesuai. Jangan marah kalau anak-anak lakukan perkara yang sama pada kita nanti kerana sangka ia tidak salah! Baru lah kena dengan muka kita masa itu. Kalau saya marah, telinga saya akan merah! Terasa sangat telinga saya jadi panas tapi saya akan cepat-cepat berhenti memberikan layanan. Saya akan bingkas meninggalkan tempat.

Tipu la kalau saya cakap saya tak pernah merasa kecil hati dengan segelintir peminat yang bercakap dengan cara yang tak sopan. Mungkin mereka ingatkan saya ni jenis ‘happy-go-lucky’ jadi boleh diperbudak-budakkan saya. Harus diingat saya dah 47 tahun dan mempunyai anak yang berusia 19 dan 14 tahun. Kadang-kadang ada yang seusia dengan ibubapa mereka. Tak manislah jika bercakap dengan saya seperti dengan rakan-rakan sebaya mereka. Kita kena ada fleksibiliti dalam cara kita bercakap mengikut usia orang di hadapan kita. Jangan main belasah je. Tapi saya anggap ini sebagai asam garam kehidupan untuk pekerjaan saya. Cuma kesian dengan anak-anak saya yang terperanjat bila mereka bersama saya ketika itu dan melihat orang bercakap cara yang janggal dengan Papa mereka!

Oh ya…satu hal lagi, saya ni memang jenis cengeng. Cepat tersentuh dan mudah menangis. Dari dulu lagi saya memang macam tu. Orang lain accident, saya yang mula bergenang airmata. Kadang-kadang tengok cerita sedih pun saya boleh menangis! Nak lebih hebat lagi? Kadang-kadang dengar lagu sedih pun saya boleh tersentuh.Itu sebabnya saya senang menitiskan airmata masa penyingkiran pelajar AF. Pada hal saya yang kawal skrip tetapi bila saya menggunakan nada yang sayu dan pemilihan perkataan yang menyentuh perasaan, rupa-rupanya perasaan saya dahulu yang tersentuh! Saya dulu yang menangis! Kelakar kan?

Dah panjang lebar saya perkenalkan diri saya dan diharap bermula minggu ini, ruangan saya ini akan menjadi pilihan pembaca akhbar No:1 ini.Banyak pengalaman, diari harian saya dan iisu semasa yang saya ingin kongsi pendapat dengan anda semua. Di samping itu, saya harap ruangan ini dapat merapatkan saya dengan penyokong saya dan yang tidak menggemari saya. InsyaALLAH.

Pada hari ini (11 Januari) juga, Mawi akan menaiki pelamin untuk majlis resepi (oops…resepsi lah) perkahwinannya dengan Ekin buat kali yanmg ketiga! Wah hebat betul anak jati Felda Taib Andak ni ya. Acara perkahwinan sampai 2 tahun! Dari tahun 2008 berlanjutan hingga 2009! Saya akan jadi tuan rumah bagi majlis yang dianjurkan ini dan saya akan melayan tetamu jemputan. Yelah, saya kan personality ASTRO, jadi kenalah jadi Bang Long dalam majlis yang akan disiarkan secara langsung di ASTRO Ria ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Mawi dan Ekin semoga mereka akan menjadi pasangan yang serasi hingga hujung nyawa. Buat Mawi dan Ekin, amati lagu 11 Januari dendangan kumpulan Gigi ini demi perkahwinan mereka!

Sebelas Januari Bertemu
Menjalani Kisah Cinta Ini
Naluri Berkata Engkaulah Milikku
Bahagia Selalu Dimiliki
Bertahun Menjalani Bersamamu
Ku nyatakan bahwa Engkaulah jiwaku

Akulah Penjagamu
Akulah Pelindungmu
Akulah Pendampingmu
Di setiap langkah-langkahmu

Pernahku Menyakiti Hatimu
Pernah kau melupakan janji ini
Semua Karena kita ini manusia

Akulah Penjagamu
Akulah Pelindungmu
Akulah Pendampingmu
Di setiap langkah-langkahmu

Kau bawa diriku
Kedalam hidupmu
Kau basuh diriku
Dengan rasa sayang
Senyummu juga sedihmu adalah Hidupku
Kau sentuh cintaku dengan lembut
Dengan sejuta warna